Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK gesa siasatan menyeluruh logo halal sandwic ham
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 10:44 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Pemuda PKR menggesa pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan bahawa KK Mart dan pembekalnya, Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, menjual produk “Ham and Cheese Sandwich” yang mengandungi logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi melahirkan kebimbangan isu menghakis kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli mereka.

Dia menegaskan penggunaan logo halal tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna khususnya di kalangan umat Islam.

"Pihak korporat, termasuk pengilang dan pengedar, perlu bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan menghormati sensitiviti pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Nabil menegaskan Prinsip Rukun Negara iaitu “kepercayaan kepada Tuhan” mengingatkan semua pihak tentang pentingnya hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan setiap individu.

"Sebagai sebuah negara majmuk, sensitiviti agama perlu dihormati, manakala sebarang provokasi atau tindakan melulu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan," tambahnya.

Dia turut menyeru orang ramai menggunakan aplikasi dan portal Halal Malaysia bagi menyemak status halal produk serta melaporkan sebarang unsur penipuan kepada pihak berkuasa.

"Kepercayaan penuh perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

"Marilah terus bersama-sama memperkukuh keharmonian masyarakat dan menjaga perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara kita," ujarnya.

Semalam, KK Mart menjelaskan sandwic ham berkenaan dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dan dijual di pelbagai platform, termasuk kedai Concept Store rangkaian kedai serbaneka itu.

Ia berkata Shake and Bake Cafe telah mengeluarkan sijil halal untuk ham ayam dan hirisan keju yang digunakan dalam sandwic itu.

Bagaimanapun, KK Mart berkata Shake and Bake Cafe tidak dibenarkan menggunakan logo KK Mart pada pembungkusan sandwic itu - yang dikatakan dilakukan oleh pengilang.

KK Mart telah memfailkan laporan polis berhubung perkara itu dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Shake and Bake Cafe.

Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyatakan sandwic itu tidak mempunyai pensijilan halal, sebagai respons kepada logo halal yang diletakkan pada bungkusan sandwic itu.

Ia menambah bahawa pengilang juga tidak mempunyai pensijilan halal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS