Perbalahan mengenai isu sandwic ham semakin panas apabila Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong saling berbalah pendapat di media sosial.
Dalam satu hantaran di media sosial, Akmal berkata Woo gagal memahami sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Kalau tak faham soal sensitif orang Islam dan Melayu di tanah air ini, lebih elok jangan jadi pemimpin!!
"Pergi jual sandwich ham lebih baguslah bro," katanya.
Akmal mengulas kenyataan Woo yang mengingatkannya supaya tidak menjadi 'batu api' dan berlagak hero dalam isu berkenaan demi meraih kepentingan politik.
"Ini bukan soal jadi hero.
"Ini soal apabila ada orang cuba menipu dan mengkhianati kepercayaan orang Islam untuk menjual produk dengan menipu label halal walaupun hakikatnya mereka tidak dapat langsung sijil halal dan ini juga adalah salah di sisi undang-undang.
"Adakah DAPSY juga menyokong tindakan yang salah di sisi undang-undang ni?” katanya.
‘Tunggu hingga siasatan selesai’
Sebaliknya, Woo pula meminta Akmal bersara sebagai ahli politik dan menjadi “penguat kuasa untuk menyerbu kilang pembuat ham”.
"Kalau tak faham lagi bahasa mudah sedemikian, lebih baik jangan gelar diri sendiri sebagai pembela bangsa, patutnya bekerja sebagai penguatkuasa untuk serbu setiap kilang pembuat ham,” katanya.
Woo menegaskan DAPSY tidak pernah membela sebarang entiti yang cuba menggugat keharmonian masyarakat.
"Sekiranya ada pihak yang salah dari segi undang-undang, maka entiti tersebut haruslah berdepannya.
"Tak pernah ada kalangan daripada DAPSY yang menyokong peniaga yang menipu dengan label halal, peniaga yang menipu harus diambil tindakan oleh pihak berkuasa dengan berlandaskan undang-undang,” tambahnya.
Bagaimanapun, Woo menegaskan bahawa adalah penting menunggu siasatan selesai dan bukannya bertindak sebagai hero serta mengambil peranan sebagai penguatkuasa.
“Hormati kedaulatan undang-undang. Semua warganegara dalam negara ini hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama, dan budaya.
"Semua warganegara hidup di tanah air ini dengan bangsa, agama dan budaya yang heterogen, masing-masing ada sensitiviti dan ada isu yang hendak diketengahkan, namun jangan sesekali cuba untuk mengambil alih peranan agensi atau penguatkuasa, biarlah Jakim dan sebagainya untuk menjawab secara profesional untuk sifarkan kegusaran," katanya.
Perang mulut itu tercetus selepas Woo mengkritik Akmal kerana didakwa membesar-besarkan isu jualan 'ham and cheese sandwich' di kedai serbaneka KK Mart dengan meniupkan sentimen perkauman.
Akmal pula menyifatkan isu tersebut sebagai satu lagi contoh penghinaan terhadap Islam.
KK Mart menjelaskan bahawa sandwic tersebut – yang dihasilkan oleh pihak ketiga – menggunakan ayam ham yang disahkan halal, walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Dalam mempertahankan Akmal, Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin semalam mengingatkan sayap-sayap Pemuda PH supaya “menjaga kata-kata mereka”.
Pada Sabtu lalu, Universiti Malaya (UM) mengarahkan penutupan segera dua cawangan KK Mart di kampusnya berkaitan isu sandwic tersebut.