Rencana politik kepimpinan tertinggi Korea Selatan terus dibelenggu kemelut berterusan sejak pengumuman darurat oleh bekas presiden Yoon Suk-Yeoul akhir tahun lepas.
Menteri Kewangan, Choi Sang-mok kini memegang jawatan presiden sementara, mengikut undang-undang Korea Selatan. Korea Selatan kini menyaksikan perubahan kepimpinan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang dari sebulan, manakala kekacauan politik yang berterusan dalam ekonomi keempat terbesar Asia ini mengancam untuk mengheret rantau ini ke dalam kecelaruan ekonomi dan politik yang lebih mendalam.
Parti Demokratik pembangkang yang menguasai parlimen memutuskan untuk memecat Han selepas ia menganggap beliau hanyalah "boneka" Suk-Yeoul kerana gagal melantik tiga hakim untuk mengisi kekosongan di Mahkamah Perlembagaan yang disokong oleh Parti Demokratik.
Sekurang-kurangnya enam hakim Mahkamah Perlembagaan perlu menyokong pemecatan Suk-Yeoul untuk menyingkirkannya daripada jawatan presiden.
Kemelut baharu ini membawa perspektif sejarah masa lalu Korea Selatan yang penuh berliku. Pada zaman Perang Dingin, pemimpin autoritarian mengambil alih kuasa melalui kekerasan, tetapi negara ini telah beralih kepada demokrasi yang matang dan stabil.
Sejak perluasan demokrasi pada tahun 1987, transformasi sosial baharu dilihat melalui lensa kapitalisme dan pendekatan demokratik. Sebahagian besar rakyat kini bertekad untuk tidak kembali ke zaman pemerintahan tentera yang mengimbau kenangan pahit tentang penyalahgunaan kuasa pada masa lalu.
Suk-Yeoul mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera sebagai langkah sah untuk menangani "kuasa antinegara" yang dikatakan memihak dan bersimpati terhadap Pyongyang tetapi Suk-Yeol telah pun menerima tamparan sokongan yang merudum dan sangat tidak popular sebelum pengisytiharan itu, dengan ekonomi yang merosot dan kebimbangan berterusan terhadap kompetensi pencapaiannya serta kontroversi melibatkan isterinya.
Data tinjauan yang dikeluarkan oleh Gallup Korea menunjukkan bahawa kadar kelulusan Suk-Yeoul jatuh kepada 16% minggu ini selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera, dengan 75% responden menyatakan beliau menjalankan tugas sebagai presiden dengan buruk.
Suk-Yeoul mengambil alih kuasa pada Mac 2022 dengan kadar kemenangan yang sangat tipis sebagai seorang konservatif tegar, dan kepimpinannya dianggap sebagai memecahkan komposisi tarikan pengundi di Korea Selatan. Beliau menarik sokongan daripada kumpulan lelaki muda yang tidak berpuas hati dengan dasar pentadbiran sebelumnya bawah panji kesaksamaan jantina, yang dianggap oleh mereka sebagai memberi wanita keistimewaan percuma.
Dengan pendirian konservatif Suk-Yeoul, beliau mendapat sokongan komposisi demografik tertentu, namun tidak mencukupi untuk membekalkan sokongan berterusan.
Kadar populariti Suk-Yeoul menurun secara berterusan sejak beliau mengambil alih kuasa, dengan pengundi menunjukkan kurangnya komunikasi, masalah ekonomi yang semakin buruk, serta kontroversi yang melibatkan wanita pertama sebagai punca utama persepsi negatif.
Suk-Yeoul juga berada dalam pergelutan dengan parlimen dalam perjuangan untuk melaksanakan agendanya dalam situasi parlimen yang dikuasai pembangkang.
Baru-baru ini sebelum pengisytiharan darurat itu, beliau terpaksa menerima bajet yang dikurangkan jumlahnya. Pembangkang memotong sekitar 4.1 trilion won (AS$4.4 bilion) daripada rancangan bajet kerajaan yang dicadangkan sebanyak 677 trilion won.
Dana rizab dipotong, bersama dengan bajet aktiviti untuk pendakwaan dan polis, dan agensi audit negara, dan yang paling ketara, dana Pejabat Presiden juga dipotong. Parti Demokratik juga mengundi untuk memecat beberapa pendakwa tertinggi di negara itu termasuk ketua Agensi Audit kerana gagal menyiasat wanita pertama.
Dalam pengisytiharan undang-undang tentera, Suk-Yeoul mempertahankan keputusannya dengan menyatakan ancaman Korea Utara dan percaya bahawa pembangkang terlalu lembut terhadap Pyongyang. Bawah pengawasannya, hubungan antara kedua-dua negara jiran ini semakin merosot.
Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik, meningkatkan perang psikologi dengan menghantar belon berisi sampah melintasi sempadan, memainkan bunyi kuat yang mengganggu ketenteraman bandar di kawasan sempadan, dan meningkatkan hubungan dengan Rusia dengan menghantar tentera untuk membantu perang Rusia ke atas Ukraine.
Kesemua ini menjadi simbol dan mesej jelas yang disampaikan oleh Jong-un, juga sebagai mesej kepada pentadbiran konservatif Suk-yeol.
Dengan menggunakan ancaman yang meningkat daripada Pyongyang dan dalam menuduh pembangkang bersimpati dengan Korea Utara serta melumpuhkan kerajaan dengan anti-state activities, keputusan untuk mengenakan undang-undang tentera terbukti membawa kesan buruk bukan sahaja kepada Suk-Yeoul tetapi juga menyeret People’s Power Party ke dalam kekacauan yang semakin meningkat dengan ketidakpercayaan dan tahap keyakinan terhadap kerajaan yang semakin menjunam.
Ini mencetuskan situasi negatif bagi Korea Selatan, kerana kedua-dua sistem politik yang tidak teratur dan rakyat yang mula menolak permainan kuasa elit politik, semuanya akan mencipta peluang baharu bagi Pyongyang untuk mendapatkan pengaruh lebih besar dan memanfaatkan propaganda lama mereka yang menolak sistem kapitalis dan menggambarkan sistem demokrasi kucar kacir di jiran selatan itu sebagai mengiyakan tanggapan yang diberikan Pyongyang sebelum ini.
Namun begitu, tidak semua cerah dan positif bagi Pyongyang kerana ia berdepan dengan gelombang baru optimisme dan keterbukaan daripada rakyat Korea Selatan, seperti yang dicerminkan dalam tinjauan baru-baru ini di mana lebih ramai yang semakin terbuka kepada idea negara itu memiliki senjata nuklear sebagai pilihan terakhir untuk kapasiti cegah rintang yang lebih bersandarkan kepada keupayaan sendiri, di kemuncak keraguan baharu terhadap tahap sokongan masa depan dari Barat dan Amerika terutamanya di bawah Trump 2.0.
Namun, masih belum jelas sejauh mana haru biru politik ini dan idea cegah rintang nuklear akan diterima di Washington dan Tokyo serta dengan prospek masa depan Pakatan Camp David kuasa tiga penjuru (Washington-Tokyo-Seoul) yang cuba diperkenalkan oleh Joe Biden.
Dalam suasana risiko ancaman keselamatan yang serupa dengan Jepun, Korea Selatan menghadapi cabaran ancaman yang terbesar, dan ini dicerminkan dalam usaha untuk memperkasa kapasiti defence and economic friendshoring di rantau Asia Tenggara dan juga dengan wilayah strategik lain dalam menghadapi ancaman Pyongyang dan China dan memperkukuhkan kapasiti daya tahan ekonomi dan bidang tujahan geostrategik baharu.
Ini penting dalam merancang dasar jangka panjang berdasarkan geografi sebagai fallback option daripada kebergantungan konvensional dengan Washington.
Walaupun dengan mekanisme keselamatan sedia ada termasuk pakatan Camp David dan hubungan positif yang diperbaharui dengan Jepun khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan, Seoul tetap gusar dengan kekentalan jaminan ini dan daya tahan jangka panjang yang mungkin berubah di bawah pentadbiran berbeza kelak.
Seoul berusaha meningkatkan usaha cegah rintang lanjutan dan kapasiti sokongan sendiri melangkaui Asia Timur dan Barat, sambil mempertimbangkan idea untuk menyokong Ukraine secara ketenteraan.
Namun, ia masih melihat Asia Tenggara sebagai kritikal dalam tiga faktor utama iaitu sebagai titik sokongan ekonomi, perdagangan dan maritim, dan sumber asli yang penting, sebagai faktor eksport ketenteraan dan pertahanan, dan sebagai sistem sokongan dalam berurusan dengan ancaman Pyongyang dan pengalihan tumpuan untuk China dalam konflik Laut China Selatan.
Dengan dilema politik yang sedang mencengkam arena kuasa tertinggi Seoul, kepercayaan dan sokongan dari kuasa jiran terutama Jepun dan usaha friendshoring yang baharu di Asia Tenggara akan kekal strategik, keputusan akhir oleh pentadbiran Trump pasti akan mengubah permainan kuasa di Asia Timur.
Kem Pyeongtaek Humphreys kekal sebagai simbol utama kehadiran dan tayangan simbol kuasa Washington, dan merupakan pangkalan tentera luar Amerika yang terbesar.
Percaturan masa depan persaingan kuasa di Seoul dan Asia Timur masih tertumpu kepada paksi realisme yang menyaksikan keunggulan kepentingan kemuncak kuasa sebagai pendorong dan pencetus perubahan polisi dan kawalan jangka panjang pulangan positif, sekali gus mengekalkan mantra “tiada kawan atau musuh yang kekal, melainkan kepentingan bersama”.
COLLINS CHONG YEW KEAT ialah penganalisis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.