"Saya dan Dr. Wan Azizah akan bertemu Perdana Menteri mungkin esok untuk menyatakan terima kasih kami atas usaha beliau membolehkan proses pembebasan berjalan lancar." Anwar Ibrahim, 16 Mei 2018. (Rujuk Berita Harian, 16 Mei 2018)
Pada 10 Mei 2018 Mahathir Mohamad mengangkat sumpah penjawatan sebagai Perdana Menteri ke-7.
Pada 11 Mei 2018 Mahathir umumkan bahawa kerajaan akan bantu dalam proses pengampunan Anwar Ibrahim.
Melalui Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2018 [P.U.(A) 125/2018] yang berkuatkuasa pada 10 Mei 2018, Mahathir menggalas sepenuhnya tugas sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Melalui surat bertulis bertarikh 14 Mei 2018 , mantan Peguam Negara Apandi Ali telah mewakilkan tugas Peguam Negara sebagai anggota Lembaga Pengampunan kepada mantan Peguam Cara Negara II, Zauyah Be T Loth Khan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi pengampunan Anwar Ibrahim bersidang pada 16 Mei 2018.
Perlu difahamkan kepada semua, bahawa Mesyuarat ini memenuhi koram Lembaga Pengampunan. Perkara 42(5) dan 42(11) Perlembagaan Persekutuan kerana seperti dinyatakan hadir adalah wakil Peguam Negara dan Mahathir sendiri sebagai menteri bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.
Anwar Ibrahim peroleh pengampunan penuh. Bebas pada 16 Mei 2018.
Harus ditekankan, kertas pengampunan tidak menyatakan jenayah dan sabitan serta perbuatan kesalahan dipadamkan. Natijahnya, pengampunan ini perlu untuk Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi Parlimen. Lihat Perkara 48(1) (e), 48(3) dan/atau 48(4) Perlembagaan Persekutuan.
Kerusi Port Dickson dikosongkan pada 12 Sept 2018. Kerusi Port Dickson dimenangi Anwar Ibrahim pada 13 Okt 2028.
Dalam masa 24 jam Mahathir umum akan bantu proses pengampunan Anwar Ibrahim. Ini kerana janjinya pada rakan-rakan gabungan PH pra PRU-14.
Dalam jangka masa lima hari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7, Mahathir telah laksanakan janji tersebut.
Fast forward enam tahun ke tahun 2024, kita lihat bagaimana pelaksaan pengampunan Najib Razak pula pada masa Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10.
Dari Februari 2024 sehingga April 2024, kerajaan serta ahli-ahli kabinet berkenaan tidak jawab langsung kepada peguam Najib Razak.
Semakan Kehakiman difailkan. Isu sub-judis pula dihujahkan di Parlimen. Ahli kabinet PMX pula ikrar afidavit, kata lihat dalam telefon seorang lagi ahli kabinet. Disah pula oleh seorang menteri besar.
Ada pula menteri kata khabar angin. Ramai juga jadi pakar hearsay.
Titah Tambahan mula tular. Setiap rakyat dapat titah tambahan di skrin whatsapp.
Peguam Najib Razak pula maklum titah itu wujud. Tahanan rumah jadi bualan.
PMX dalam ucapan Belanjawan petik bahawa kerajaan akan usul undang-undang tahanan rumah. Menteri Dalam Negeri kata bukan untuk semua banduan, mungkin untuk ibu yang curi susu atau milo. (ganti sekarang dengan tandan pisang mungkin).
Kerajaan bidas usaha pembangkang persoal. Kononnya isu ini ditunggang.
Rakan karib PH dalam Madani mula bersuara. Anak murid mula buat road show pertahan hak mantan Presiden Umno. Setiap kali ucapan atau pertemuan solidariti, tisu mesti disiapkan, laungan keramat Bossku berkumandang.
Masuk pula surat mula tular. Istana Pahang sahkan wujud titah.
Solidariti diatur. Ada anak muda mula jogging di Putrajaya. Lautan hijau dan merah dijanjikan .
Mahkamah Rayuan buat keputusan majoriti 2-1. Ada isu untuk dibicarakan. Sama ada titah tambahan untuk Najib Razak habiskan baki penjara enam tahun di tahanan rumah. Tentang denda RM50 juta sepi tiada siapa tahu.
Maka ke Mahkamah Tinggi sekali lagi - sama ada wujud atau tidak, sama ada tahan di rumah atau tidak.
Di Bukit Mertajam Januari 2025, PMX akhirnya sahkan wujud titah tersebut.
Dari Februari 2024 ke Januari 2025, masih belum selesai isu pengampunan Najib Razak. Sekarang kes ke Mac 2025.
Dalam isu pengampunan Anwar Ibrahim, proses yang dijanjikan oleh Mahathir dilaksana dalam lima hari.
Pada zaman PMX dan Madani ini, ia jadi isu hangat selama 12 bulan masih belum selesai dan akhirnya seperti biskut, sekejap ada sekejap tiada. Sekarang ini hendak dimohon gag-order pula walaupun perdana menteri sendiri sudah bercakap riuh satu negara.
Begitulah cerita tiga perdana menteri dua pengampunan.
Yang pasti hanya seorang sahaja yang melaksana dan mentadbir manakala seorang lagi hebat gaya atas pentas. Yang seorang lagi masih menghitung nasib tidak tahu ke mana.
RAFIQUE RASHID ialah ketua penerangan Pejuang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.