Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka membawa penghijrahan tenaga mahir dari seluruh pelusuk negara ke selatan Johor.
Ini akan meningkatkan permintaan terhadap infrastruktur pengangkutan awam dan kediaman dengan jangkaan lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal wujud.
Kesannya, kesesakan jalan raya mungkin akan bertambah teruk tanpa sistem rel yang sistematik dan keperluan perumahan juga akan meningkat hasil dari penghijrahan tersebut.
Oleh itu pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha membina penempatan pekerja yang mencukupi, menaiktaraf sistem rel KTMB sedia ada dan mewujudkan perkhidmatan komuter untuk memenuhi permintaan pengguna pengangkutan awam.
Ini adalah langkah awal yang perlu diambil untuk menangani isu ini.
Salah satu kaedah untuk menangani permintaan penempatan pekerja adalah mewujudkan dan membangunkan penempatan pekerja berdekatan dengan lokasi perindustrian yang bakal wujud.
Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya. Pekerja akan lebih cenderung untuk berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam, secara tidak langsung akan mengurangkan keperluan untuk menggunakan kenderaan persendirian.
Tempat tinggal yang berdekatan juga dapat mengurangkan masa perjalanan, membolehkan pekerja tiba dengan lebih cepat dan dapat mengelakkan dari terperangkap dalam kesesakan pada waktu puncak.
Inisiatif ini boleh menjadi salah satu penyelesaian efektif dalam menangani kesesakan lalu lintas.
Selain dari itu menyediakan akses mudah kepada pengangkutan awam dari kawasan kediaman yang sedia ada juga dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.
Dengan menyediakan pilihan pengangkutan awam yang efisien, lebih ramai pekerja akan menggunakannya berbanding kenderaan persendirian dan menjurus kepada pengurangan kepadatan lalu lintas.
Untuk mencapai matlamat ini, pihak berkuasa perlu pertimbangkan untuk mewujudkan perkhidmatan komuter dengan kadar yang segera.
Dengan laluan kereta api elektrik berkembar Gemas-Johor Sentral dijangka mula beropersi pada suku ketiga tahun 2025, perkhidmatan komuter menggunakan kereta api Electric Mutiple Unit (EMU) untuk laluan komuter Utara-Selatan Johor sudah boleh diwujudkan.
Laluan ini boleh bermula dari stesen KTMB Segamat melalui stesen KTMB Kempas Baru dan tamat di stesen KTMB Johor Sentral.
Juga perlu diwujudkan dengan segera adalah laluan komuter Timur-Barat Johor. Laluan komuter ini boleh diwujudkan dengan menggunakan laluan kereta api sedia ada iaitu trek KTMB dari Pasir Gudang melalui stesen KTMB Kempas Baru dan tamat di Tanjung Pelepas.
Oleh kerana laluan ini bukan laluan kereta api elektrik, KTMB boleh menggunakanya kereta api Diesel Multiple Unit Class 61 (DMU61) untuk perkhidmatan komuter ini. Stesen KTMB Kempas Baru boleh menjadi stesen petukaran atau interchange station untuk penumpang komuter laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat.
Perkhidmatan komuter menggunakan EMU dan DMU61 ini mampu mengangkut lebih ramai penumpang dalam satu perjalanan sejurusnya membantu menyebarkan aliran trafik pada waktu puncak.
Juga perlu dilaksanakan ialah integrasi komuter dengan pengangkutan awam yang lain. Menghubungkan stesen komuter dengan perkhidmatan bas atau pengangkutan lain akan memudahkan pergerakan dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam secara keseluruhan.
Integrasi perkhidmatan EMU dan DMU61 dengan perkhidmatan bas awam yang bertindak sebagai bas feeder, boleh meningkatkan efisiensi pengangkutan awam di JS-SEZ.
Kesalinghubungan khidmat komuter dengan bas awam akan menghubungkan secara langsung stesen komuter dengan kawasan perumahan atau pusat komersial. Ini akan memudahkan pengguna menukar mod pengangkutan dari komuter ke bas feeder ataupun sebaliknya.
Dengan meningkatkan aksesibiliti ke stesen komuter melalui bas feeder secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam, seterusnya akan mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.
Untuk meningkatkan daya tarikan penguna mengunakan perkhidmatan bas feeder, ia perlu beroperasi secara berjadual dan kerap. Ini untuk memastikan bahawa pengguna tidak perlu menunggu lama dan akan meningkatkan minat orang ramai mengunakan pengangkutan awam.
Penggabungan khidmat bas feeder dengan kereta api EMU dan DMU mampu membawa penumpang dalam jumlah besar. Ini bermakna keseluruhan sistem pengangkutan akan menjadi lebih efisien dan mampu menampung peningkatan permintaan tenaga kerja yang bakal meningkat.
Satu lagi kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas adalah menempatkan industri yang bakal wujud hasil di JS-SEZ berdekatan dengan laluan komuter.
Pekerja yang tinggal berjauhan dengan tempat kerja boleh menggunakan perkhidmatan komuter, dan mengurangkan keperluan untuk menggunakan kenderaan persendirian. Laluan komuter yang berdekatan memudahkan akses pekerja kepada pengangkutan awam dan akan mendorong lebih ramai pekerja untuk menggunakan khidmat komuter ini.
Dengan cara ini pengunaan perkhidmatan komuter dapat dioptimumkan untuk menampung peningkatan penumpang.
Apabila lebih ramai pekerja menggunakan pengangkutan awam, jumlah kenderaan di jalan raya akan berkurangan, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.
Kesimpulannya, pembangunan JS-SEZ di Johor berpotensi memberikan impak positif yang signifikan terhadap infrastruktur dan mobiliti penduduk.
Dengan menempatkan perumahan pekerja berdekatan dengan industri dan membina industri berdekatan dengan laluan komuter KTMB, ia akan dapat membantu menyelesaikan masalah penempatan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Integrasi perkhidmatan EMU dan DMU dengan bas feeder akan meningkatkan aksesibiliti dan efisiensi pengangkutan awam.
Segala usaha ini dijangka akan meningkatkan kualiti hidup penduduk di JS-SEZ dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negeri Johor.
MOHAMED ISMAIL KP PAKIR MOHAMED ialah pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.