Muda bimbang tindakan kerajaan memfailkan perintah mahkamah untuk melarang perbincangan awam mengenai titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan di rumah.
Parti itu menegaskan sebarang usaha membungkam kebebasan bersuara yang menjadi tonggak demokrasi hanya menimbulkan lebih banyak persoalan.
"Apakah tujuan sebenar tindakan ini — untuk melindungi kepentingan awam, atau semata-mata menjaga individu tertentu daripada dipertanggungjawabkan di mata rakyat?
"Tindakan tersebut turut menjejaskan keabsahan sistem perundangan negara.
"Rakyat berhak mengetahui mengapa titah adendum, yang didakwa mampu mempengaruhi hukuman penjara seorang bekas perdana menteri yang telah disabitkan dengan salah laku rasuah, diperlakukan dengan penuh kerahsiaan.
"Bukankah keterbukaan menjamin integriti institusi lebih kukuh,” soal Muda pada satu kenyataan malam tadi.
Muda turut menyoal siapa yang memohon perintah larangan tersebut sambil menggesa penjelasan daripada pihak terlibat.
Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan perintah perlindungan dan larangan bukan sahaja untuk dokumen mahkamah tetapi juga keseluruhan prosiding semakan kehakiman berkenaan titah adendum, menurut peguam Najib.
Titah adendum tersebut dijadualkan dibahaskan di Mahkamah Tinggi, selepas Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman.
Semakan tersebut bertujuan untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, yang memberikan Najib tahanan rumah.
Kewujudan titah itu disahkan dalam surat daripada Istana Pahang yang dikemukakan di mahkamah minggu lalu.
Sejak itu, terdapat spekulasi hebat sama ada titah adendum tersebut dikeluarkan mengikut protokol atau jika kerajaan telah berusaha untuk menghalang pelaksanaannya.