Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan pihaknya selesai merakam keterangan Khairy Jamaluddin berhubung kenyataannya mengenai kewujudan dokumen tambahan untuk membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Katanya keterangan daripada bekas menteri kesihatan itu dirakam petang tadi oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di studio Keluar Sekejap, Bukit Damansara di Kuala Lumpur.
"Ya, polis telah selesai merakam kenyataan beliau petang tadi dan kertas siasatan dijangka dapat disiapkan dalam tujuh hari," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatApps hari ini.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati tiga pegawai polis tiba kira-kira jam 4.40 petang diikuti Khairy 17 minit kemudian.
Difahamkan proses merakam keterangan mengambil masa 45 minit. Khairy dilihat keluar dari lokasi berkenaan kira-kira jam 6 petang.
Bercakap kepada pemberita, Khairy memaklumkan dia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung laporan-laporan yang telah dibuat terhadapnya.
"Saya nak mengesahkan bahawa saya selesai memberi keterangan. Terima kasih kepada pihak PDRM dan terima kasih kepada pihak media," katanya.
Jumaat lalu Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Suraya Yaacob, bersama Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip, membuat laporan polis, masing-masing di Putrajaya dan Sentul.
Menerusi salinan laporan polis berkenaan, Suraya dan Nor Azrina mendakwa kenyataan Khairy yang mengaitkan dua menteri terbabit adalah tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat hingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.
- Bernama