Seorang pemimpin Pemuda Umno membidas kritikan daripada PH terhadap ketua sayap parti itu Dr Akmal Saleh.
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin mendakwa terdapat pimpinan PH yang semakin tidak sopan kebelakangan ini.
"Saya tegaskan, mana-mana pimpinan kami Pemuda menghormati kepimpinan Pemuda PH - namun semenjak dua ini pimpinan Pemuda PH cukup kasar dalam mengeluarkan komen.
“Jaga tutur kata, kami tiada masalah dengan anda. Fokus kami hanyalah pada isu dan perkara yang penting bagi kami.
“Meneruskan amalan menyerang Dr Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda adalah signal kepada galakkan untuk pertembungan dengan Pemuda Umno dan BN,” katanya pada satu hantaran di Facebook hari ini.
Hafiz merujuk kenyataan Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong yang mengkritik Akmal kerana mensensasikan isu sandwic ham dan keju KK Mart serta meniupkan ketegangan perkauman.
Akmal sebelum ini mendakwa insiden itu menjadi bukti Islam diperlekehkan.
KK Mart telah menjelaskan sandwic tersebut - yang dihasilkan oleh pihak ketiga - menggunakan ham ayam yang disahkan halal.
Ini walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan produk sandwic itu secara keseluruhan tidak disahkan untuk menggunakan logo halal.
Malaysiakini mendapati sandwic tersebut dihasilkan oleh sebuah syarikat yang dimiliki oleh ketua bahagian MCA di Perak.
Mengulas mengenai isu sandwic itu, Hafiz berkata walaupun ia mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah pihak, isu ini sangat penting bagi umat Islam.
"Ini (teguran Akmal) bukan serangan kepada Kerajaan Malaysia atau mana-mana parti dalam kerajaan Perpaduan.
"Mungkin ada rasa remeh, ada rasa penting. Namun bagi pengguna beragama Islam hal ini mustahak. Ini adalah hak untuk menyuarakan,” katanya.
Selain Woo, Akmal turut dikritik oleh Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim pada 29 Disember selepas ketua Pemuda Umno itu mempertikaikan pengampunan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.