Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kerana titah tambahan (adendum) yang diterima Peguam Negara itu kelihatan seperti kertas draf dokumen yang belum siap, tanpa kepala surat, tanpa tandatangan, tanpa cop mohor rasmi dan tanpa nombor siri rujukan, maka menjadi suatu risiko jika pihak kerajaan melaksanakan arahan yang tidak kelihatan "rasmi" sehingga boleh dipertikaikan jika ada pihak yang membawanya ke mahkamah kelak.

Bahagian IV Bab 3 Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pun menyatakan berkali-kali kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong - dalam hal rayuan - untuk memansuhkan atau meringankan hukuman seseorang banduan ialah melalui lembaga pengampunan. Bukan luar daripada itu.

Istilah lembaga pengampunan disebut berkali-kali dalam Perlembagaan Persekutuan dan ditegaskan lagi sekali oleh kenyataan Agong ke-17 mengenainya baru-baru ini bahawa apa-apa jua bentuk rayuan daripada banduan perlu melalui lembaga pengampunan.

Implikasi jika arahan meringankan hukuman seorang banduan elitis (kes samun wang hasil cukai rakyat marhaen berjumlah ratusan juta ringgit) yang diberikan lebih daripada sekali untuknya akan menyebabkan sistem keadilan negara ini dilihat berat sebelah, bukan sahaja oleh majoriti rakyat Malaysia tetapi juga komuniti antarabangsa.

Ini lantas boleh menimbulkan kesan negatif terhadap reputasi dan imej Malaysia di persada dunia terutama dalam usaha negara kita untuk menarik dan mengekal pelabuan langsung asing (FDI) serta kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pada waktu sama, banduan elitis tersebut masih mempunyai beberapa kes lain yang sedang dibicarakan di mahkamah termasuk kes lari daripada membayar cukai dan 1MDB.

Maka memansuh atau meringankan hukuman banduan boleh menimbulkan pertindihan dengan hukuman atau keputusan mahkamah yang bakal dikenakan ke atasnya untuk kes-kes yang sedang dibicarakan.

Digunakan untuk tekan presiden

Konsep tahanan rumah pula sehingga kini masih tiada dalam amalan hukuman untuk negara kita. Ia perlu diperincikan supaya boleh dilaksanakan dengan adil dan mengikut peruntukan undang-undang.

Persoalan yang bakal timbul ialah: tahan di rumah yang mana satu nanti? Hal itu kerana biasanya seseorang banduan elitis mempunyai lebih daripada sebuah rumah.

Apa pula kaedah pemantauan banduan? Adakah perlu wang cukai rakyat dibelanjakan untuk membayar anggota polis menjaga rumah tahanan tersebut, atau apakah dia perlu dipakaikan alat pengesan pada kaki?

Setakat ini tiada rekod ada mana-mana banduan diringankan hukuman, diampunkan atau diubah hukumannya melalui titah adendum di luar sidang lembaga pengampunan.

Justeru tiada duluan bahawa titah adendum tersebut pernah diamalkan sebelum ini atau ia menepati Perlembagaan Persekutuan. Itu yang akan dibicarakan di mahkamah tinggi dalam semakan kehakiman nanti.

Ia akan menjawab banyak persoalan mengenai kesahihan arahan titah tersebut dari sudut undang-undang.

Berkenaan implikasi politik pula, secara peribadi saya berpendapat, sudah tentu pembebasan banduan elitis itu akan dimanfaatkan oleh para fanatiknya yang antikepimpinan Umno-BN sekarang.

Ia akan menjadi 'peluru' mereka menekan Presiden Umno (yang juga Pengerusi BN) agar berundur lalu keluar dari kerajaan perpaduan.

Ia juga akan menjadikan Umno-BN sebagai pihak yang meruntuhkan kerajaan, menganggu kestabilan politik yang terbina selepas PRU ke-15 dan membuatkan parti itu kembali menjadi pembangkang (minoriti).

Dalam keadaan begitu Umno-BN terpaksa mencari rakan politik baru untuk membentuk kerajaan sebelum PRU ke-16 atau selepasnya. Ketidaktentuan politik begini akan menganggu proses pemulihan ekonomi negara secara tidak langsung.

Sudah tentu akan mendatangkan kemurkaan pihak istana jua.

Pembebasan banduan elitis dari penjara itu juga akan turut dimanfaatkan oleh pihak pembangkang khususnya PAS-PN kerana memang menjadi tujuan mereka untuk mengulingkan kerajaan sebelum PRU.

Dengan kata lain ia adalah cubaan ‘Tebuk Atap 2.0’.

Kononnya mereka berharap agar banduan elitis terbabit boleh mempengaruhi para fanatik yang bersimpati dengannya untuk bersama PAS-PN membentuk kerajaan persekutuan atau menyokong calon PM ke-11 daripada kalangan mereka.

Ini ialah wishful thinking PAS-PN yang kurang waras memandangkan blok Borneo sudah tentu akan menolak kepimpinan PAS.

Atau adakah fanatik banduan elitis itu rela melihat Presiden Umno sekarang menjadi PM ke-11? Yang pasti banduan elitis itu masih tidak boleh bertanding PRU dan perlu menghabiskan sisa hukumannya dalam tahanan.


DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN merupakan seorang ahli politik dan seorang usahawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS