Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sapu sampah, cuci tandas antara hukuman buang sampah merata-rata
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Hukuman berbentuk khidmat masyarakat akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah kerana membuang sampah merata-rata, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Katanya pelaksanaan hukuman seperti mencuci longkang, menyapu sampah atau mencuci tandas awam akan dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, tertakluk kepada keputusan mahkamah.

“Tidak ada gunanya kita naikkan kadar kompaun setakat RM300, RM500 (sebab) mereka boleh bayar dan ulang perbuatan sama, tetapi apabila kena jalankan khidmat masyarakat, pesalah akan tahu dan tak akan buang sampah lagi.

“Kita serah kepada mahkamah (tentukan hukuman). Jika empat hari (hukuman), kamu (pesalah) kena sapu jalan empat hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jentera baru Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Teluk Intan hari ini.

Pada Nov lalu, Nga dilaporkan berkata pindaan rang undang-undang (RUU) bagi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat untuk kesalahan pembuangan sampah kecil dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Nga berkata hukuman itu akan dilaksanakan melalui penyediaan draf RUU Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut Nga, pindaan itu mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata yang dipinda bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS