Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian mengenai persediaan menghadapi kemungkinan perkembangan berkaitan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI).
Perbincangan itu diadakan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta beberapa kementerian lain susulan AS dilaporkan sedang mempertimbangkan sekatan eksport selanjutnya ke atas cip AI.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata impak yang mungkin timbul daripada hal itu boleh menjadi signifikan bagi Malaysia namun, laporan tersebut masih belum dapat disahkan.
“Sekiranya mereka benar-benar mahu mengenakan (sekatan eksport), sudah pasti akan ada kesan bukan sahaja ke atas Malaysia malah juga keseluruhan komuniti global...terutama ketika kita mahu mengembangkan AI ke peringkat yang lebih besar.
"Jadi, tanpa cip AI, saya berpandangan kita akan menghadapi masalah.
“Bagaimanapun setakat ini, semuanya masih khabar angin. Kita tidak tahu kategori dan negara yang boleh terkesan namun, sudah tentu, kita mendengar 85 peratus negara berada dalam kategori Tahap 2, yang bukan paling terbuka dan juga bukan yang paling ketat ,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan makmal penyelidikan Teater LogTech dan program TalentBridge di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya.
Menurut laporan, berdasarkan sekatan baru AS, syarikat boleh memohon kebenaran menyeluruh untuk membekalkan cip kepada kalangan pusat data yang berada di kebanyakan bahagian dunia.
Permohonan itu berasaskan syarat iaitu tidak lebih daripada suku daripada jumlah kuasa pengkomputeran mereka berada di luar negara Tahap 1, dan tidak lebih tujuh peratus berada di mana-mana negara Tahap 2.
Pentadbiran Presiden Joe Biden yang bakal mengakhiri penggalnya dilaporkan merancang pusingan kawalan eksport baharu ke atas cip canggih yang digunakan di pusat data, menyasarkan negara dan syarikat.
Bloomberg, yang memetik sumber yang tidak didedahkan, ialah pihak pertama yang melaporkan kemungkinan tindakan itu.
- Bernama