KES 1MDB | Najib Razak memberi keterangan derma Arab yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya tidak melanggar kod etika bagi anggota pentadbiran.
Bekas perdana menteri itu berkata inilah sebabnya dia tidak mendedahkan dakwaan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi itu kepada kabinet pada tahun 2013.
Najib memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya petang ini bahawa dia hanya memaklumkan kepada kabinet bahawa almarhum Raja Arab Saudi Raja Abdullah akan menyokong pentadbirannya tanpa menjelaskan secara terperinci tentang derma tersebut.
Najib tidak setuju dengan timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar yang menyatakan tertuduh sepatutnya mengisytiharkan derma itu kepada kabinet kerana ia mungkin melanggar kod etika anggota pentadbiran.
Pendakwaan merujuk Perkara 6 Kod Etika Anggota-anggota Pentadbiran 1997, yang menyatakan "anggota pentadbiran hendaklah mengelak daripada menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi seperti meminta dan menerima apa-apa hadiah, upah atau kemudahan yang boleh menjejaskan integriti mereka."
Kamal: Anda sebagai perdana menteri ketika itu tidak boleh menerima hadiah (derma Arab), betul?
Najib: Kod tersebut menyatakan mana-mana hadiah yang boleh menjejaskan integriti, saya tidak menganggap derma tersebut menjejaskan integriti.
Kamal: Anda tidak boleh menerima derma itu (derma yang didakwa daripada Arab Saudi).
Najib: Saya tidak setuju. Hanya jika hadiah itu mempengaruhi keputusan kita, barulah tidak boleh. Jika hadiah itu tiada kaitan dengan kuasa kita sebagai anggota pentadbiran, maka tidak mengapa. Anda mesti membaca kod itu dengan teliti, bukan secara terpisah.
Apabila Kamal menyatakan Najib tidak sepatutnya menerima derma Arab itu berdasarkan kod tersebut, bekas menteri kewangan itu dengan tegas tidak bersetuju.
Najib berkata pendakwaan mengambil kod tersebut di luar konteks dengan menafsirkannya secara terpisah, menyebabkan kekeliruan.
Kamal: Saya katakan apabila anda menerima derma daripada Raja Abdullah, anda perlu memberitahu kabinet.
Najib: Tidak, saya tidak setuju.
Bekas perdana menteri itu mengulangi kenyataan dia percaya wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya derma politik daripada kerabat diraja Timur Tengah.
Najib juga menegaskan dia tidak mengetahui sebarang salah laku dalam syarikat 1MDB dan mendakwa penggelapan dana di syarikat pelaburan negara itu semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), serta anggota pengurusannya.
Tertuduh bergantung kepada empat surat yang dikatakan dari kerabat diraja Arab, yang ditulis oleh Saud Abdulaziz Majid Al-Saud, yang didakwa menjanjikan sumbangan jutaan dolar kepada Najib.
Sementara itu, Najib tidak bersetuju dengan dakwaan nada empat surat Arab itu bersifat peribadi.
Penafian bekas perdana menteri ketika pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.
Najib mendakwa frasa yang digunakan oleh Saud, seperti “in view of the friendship we developed over the years” merujuk kepada hubungan lama antara Malaysia dan Arab Saudi.
Dia juga menolak keras hujah Akram bahawa tiada satu pun daripada empat surat Arab itu menunjukkan Saud pernah mewakili kerajaan Arab Saudi.
Akram: Saya katakan kepada anda, tiada asas untuk menganggap empat surat itu datang daripada Raja Abdullah, kerajaan Arab Saudi atau mana-mana kerabat diraja Arab.
Najib: Saya tidak setuju.
Akram: Saya katakan kerana tiada asas untuk menganggap surat itu daripada mereka (kerabat diraja Arab) maka perkara yang sama boleh dikatakan bahawa wang (yang masuk ke akaun Najib) juga tidak pernah datang daripada mereka.
Najib: Saya tidak setuju.
Akram: Anda tidak pernah menghantar nota terima kasih kepada Raja Abdullah (atas sumbangan yang didakwa masuk ke akaun Najib) kerana empat surat ini palsu.
Najib: Saya tidak setuju.
Najib pada perbicaraan kes hari ini turut menafikan dakwaan timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar bahawa dia pernah menghalang menteri kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah (gambar bawah) daripada pergi ke luar negara untuk memeriksa status dana 1MDB.
Bekas menteri kewangan itu berkata tiada keperluan untuk Husni pergi kerana lembaga pengarah 1MDB telah pun pergi ke luar negara lebih awal untuk memeriksa status dana tersebut.
Kamal: Saya katakan kepada anda bahawa jika Husni pergi (ke luar negara), dia akan menemui sesuatu yang lain (berkaitan status dana 1MDB).
Najib: Saya tidak setuju.
Husni sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan bahawa Najib memberi amaran kepadanya agar tidak campur tangan dalam hal yang melibatkan 1MDB.
Perbicaraan akan disambung esok pagi di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.
Diperintah bela Diri
Pada 30 Oktober tahun lalu, Najib diperintahkan untuk membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim mendapati Najib perlu menjawab tuduhan tersebut berdasarkan keterangan 50 saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun sejak bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberikan keterangan membela dirinya terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.