Polis akan merakam keterangan bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin, hari ini berhubung dakwaannya mengenai kewujudan titah tambahan berkaitan Najib Razak menjalani pemenjaraan di rumah.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata keterangan Khairy akan dirakam oleh pasukan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di Damansara, Selangor.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
"Siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima,” katanya, lapor media tempatan.
Khairy Jamaluddin pada 10 Jan lalu mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya Umno susulan isu titah adendum yang melibatkan Najib Razak.
Khairy yang dipecat Umno dua tahun lalu menuduh Menteri Undang-undang Azalina Othman Said bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
Pada 11 Jan, dua laporan polis dibuat terhadap bekas ahli parlimen Rembau itu atas kenyataannya berhubung isu titah adendum.
Laporan berkenaan dibuat oleh Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Laporan dibuat secara berasingan masing-masing di Putrajaya, dan Sentul di Kuala Lumpur.
Menerusi salinan laporan polis berkenaan, Suraya dan Nor Azrina memaklumkan kenyataan dikeluarkan Khairy mengaitkan dua menteri itu tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.
BACA BERKAITAN:
'Perang' adendum: Zaid kecam Azalina adukan KJ ke polis