Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan produk sandwic ham yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Jakim juga mengesahkan syarikat yang membekalkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Katanya pemeriksaan di lapangan sudah dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu susulan banyak pertanyaan di media sosial berkaitan produk 'ham and cheese sandwich' yang diragui status halal.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.
“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang telah diambil oleh KPDN,” katanya.
Sabtu lalu, UM mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan KK Mart di kampus institusi penganjian tinggi berkenaan ekoran penjualan produk yang diragui status halalnya.
Kata UM arahan penutuan tersebut juga dibuat untuk memastikan siasatan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Pagi tadi pula Pemuda Umno mengecam KK Mart kerana didakwa menjual produk sandwic ham yang dikaitkannya dengan daging babi.
Sudah buat laporan polis
Dia yang juga exco Melaka mendakwa "luka lama" berhubung kontroversi stoking ditemui dalam premis KK Mart di Selagor dulu belum sembuh.
Untuk rekod perkataan "ham" tidak semestinya merujuk kepada daging babi. Daging ayam atau ayam belanda juga ada yang dijual sebagai ham.
Kata Jakim pengguna dinasihatkan agar sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal bagi mengelakkan kekeliruan
“Pastikan produk tersebut telah dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti,” katanya.
Sementara itu, KK Mart dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic terbabit.
Rangkaian kedai serbaneka itu juga memaklumkan bahawa bekalan produk daripada Shake And Bake Cafe Sdn Bhd (Shake and Bake) untuk semua cawangannya dihentikan.
“Untuk pengetahuan semua, hanya 16 KK Concept Store sahaja yang mempunyai kemasukan produk ini (sandwic ham).
“Oleh itu, KK Mart membekukan urusan perniagaan bersama Shake and Bake serta-merta, selain menghentikan segala pemprosesan produk ini daripada kemasukan ke mana- mana outlet dalam tempoh siasatan,” katanya.
Menurut syarikat itu lagi sebelum ini Shake and Bake ada mengemukakan sijil halal bagi ham ayam dan kepingan keju yang digunakan untuk membuat sandwic tersebut.
Penulisan perkataan bagi produk berkenaan, katanya, juga datang daripada syarikat Shake and Bake.
KK Mart turut menjelaskan, Shake and Bake tidak diberi kebenaran untuk menggunakan logonya pada pembungkusan produk tersebut.
“KK Mart juga mengambil tindakan dengan membuat laporan polis pada 11 Jan berhubung perkara ini.
“Kami juga telah mengarahkan peguam kami, tetuan David Gurupatham & Koay, untuk mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 10 Jan kepada Shake and mengenai isu ini,” katanya.
Pada masa sama syarikat rangkaian kedai serbaneka itu juga menjelaskan mereka sedar Jakim dan KPDN menyerbu kilang Shake and Bake pada Jumaat lalu.
“Kami sedia memberikan kerjasama penuh bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan pelanggan kami.
“Syarikat ini juga sentiasa memandang serius dan mengambil langkah perlu untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan,” katanya.