Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata rundingan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) selesai dimuktamadkan.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025, beliau berkata majlis menandatangani perjanjian jual beli (SPA) syarikat penerbangan itu antara kerajaan negeri dengan Malaysia Aviation Group (MAG) akan berlangsung pada Februari.
“Apa saya dapat dedahkan hari ini ialah (pembelian) MASwings beres … kemungkinan besar (majlis) SPA diadakan di Kuching.
“Rundingan telah selesai, maknanya kerajaan Sarawak ambil alih dengan nilai aset yang dipersetujui antara kedua-dua pihak,” katanya yang enggan mendedahkan nama baru syarikat itu.
Abang Johari berkata nama syarikat berkenaan telahpun diputuskan dan ia akan diumumkan selepas majlis SPA.
Sebelum ini, media melaporkan proses rundingan nilai aset berkenaan melibatkan aspek pengendalian darat di lapangan terbang yang terbabit.
Antara destinasi antarabangsa menjadi pilihan syarikat penerbangan Sarawak susulan pengambilalihan itu termasuk Jerman, Korea, Jepun, Hong Kong dan Bangkok.
- Bernama