Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurus syarikat maut dalam kemalangan empat kenderaan

Seorang pengurus syarikat maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Platinum 7/60, Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kemalangan 10.25 pagi itu berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang menghala ke Persiaran Bestari dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai akibat hilang kawalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal berkenaan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV yang diparkir di tepi jalan dan mengakibatkan penunggangnya terjatuh.

“Keadaan itu membuatkan pemandu MPV iaitu lelaki tempatan berusia 38 tahun cuba mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebuah lagi SUV jenis BMW X5 yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV itu telah ditahan untuk menjalani ujian air kencing dan darah dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee di talian 010-4589850 bagi membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS