Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Woo tegur Akmal: Jangan bertindak macam tin kosong
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 2:32 PM
Dikemaskini: 6:57 AM
1

Pemuda DAP berpendapat, seseorang pemimpin sepatutnya membantu masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan dan bukan sebaliknya merosakkan apa yang ada.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Woo Kah Leong berkata ketika ini suhu politik sedang cuba dipanaskan ke tahap maksimum oleh pihak pembangkang dengan tujuan memecahkan perpaduan negara.

Justeru katanya tidak wajar untuk pemimpin politik - seperti Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh - mensensasikan sesuatu isu seperti yang dilakukannya hari ini.

Katanya, tindakan Akmal menularkan isu berkenaan sandwic yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) memberi gambaran seolah-olah institusi pengajian tinggi terbabit tidak mengambil sebarang tindakan.

Sedangkan, tambah Woo, UM sudah mengarahkan penutupan serta-merta operasi KK Mart berkenaan sebaik saja menyedari timbil insiden yang meragukan.

"DAPSY yakin semua universiti di bawah kelolaan Menteri Pengajian Tinggi daripada Umno tidak akan sesekali berkompromi dalam isu sedemikian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Akmal mengecam KK Mart ekoran dakwaan kedai tersebut menjual sandwic ham yang dikaitkannya dengan daging babi.

Dia yang juga exco Melaka mendakwa "luka lama" berhubung kontroversi stoking ditemui dalam premis KK Mart di Selagor dulu belum sembuh.

Bagaimanapun untuk rekod perkataan "ham" tidak semestinya merujuk kepada daging babi. Daging ayam atau ayam belanda juga ada yang dijual sebagai ham.

Apabila hal itu dinyatakan kepada Akmal, Adun Merlimau itu memberitahu Malaysiakini, dia sekadar mempersoalkan logo halal pada bungkusan sandwic tersebut.

“Orang tak marah awak jual ham, orang marah logo halal.

“Jadi saya menyeru Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk menjelaskan sama ada logo halal sandwic itu tulen atau sebaliknya,” kata Akmal.

Woo berkata tidak wajar untuk seseorang pemimpin dalam kerajaan mengapi-apikan perasaan orang ramai dan berlagak mahu menjadi hero.

"Jangan bertindak seperti tin kosong, sangat bising tetapi tidak berisi dan kosong sahaja," katanya.

Bukan semua perlu dipolitikkan

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, MCA turut menegaskan kepentingan ahli politik cuba mengekalkan keharmonian yang dinikmati rakyat pelbagai latar belakang dan kepercayaan di negara ini

Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng berkata retorik melampau daripada ahli politik bukan sahaja kurang konstruktif bahkan juga boleh menghakis kepercayaan antara masyarakat.

"Sekiranya sentimen kebencian itu terus memuncak, ia akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara," katanya.

Wee Jeck Seng

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu menambah, sebarang perkara berkaitan pensijilan halal perlu diselesaikan melalui saluran yang sepatutnya untuk mengelakkan kontroversi daripada memuncak menjadi konflik politik.

Apabila setiap keputusan perniagaan atau produk dipolitikkan, katanya, ia hanya akan menjejaskan keyakinan orang terhadap negara.

“Perniagaan mahu beroperasi dalam persekitaran yang adil dan stabil, bukan dilatari kontroversi dan ketidaktentuan berterusan.

“Tingkah laku ini akan menjejaskan keyakinan perniagaan tempatan dan tidak menggalakkan pelaburan asing, dan akhirnya merosakkan ekonomi negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS