Usia tidak mengurangkan rasa humor Dr Mahathir Mohamad, seperti yang terlihat dalam video terbaru gelagatnya mencari berbilion-bilion ringgit yang didakwa dimilikinya.
Video itu menunjukkan bekas perdana menteri, yang akan mencecah 100 tahun pada tahun ini, mencari sesuatu di pelbagai tempat, termasuk di belakang TV.
Ditanya apa yang dicarinya, Mahathir menjawab:
"Duit, duit, RM3 bilion yang pada saya. Tahu tahu cari tak jumpa,” jawabnya dengan loghat utara.
Selepas membelek di belakang TV, dia kemudian berkata tiada apa-apa dan manu memeriksa bilik tidur pula.
Di bilik tidur, Mahathir, ketika ditanya berapa lama dia telah mencari, berkata sudah dua tahun tetapi belum jumpa.
Menjawab soalan jika dia ingin pergi ke Switzerland untuk mencari wang tersebut, dia menjawab:
“Kita pi ke Switzerland. Bank di Switzerland ada duit lagi situ.”
Video tersebut, yang dimuat naik di Facebook, dilihat sebagai sindiran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan siasatan SPRM terhadap kekayaan dia dan anak-anak.
Pada Mei 2023, Mahathir memfailkan saman RM150 juta terhadap Anwar atas dakwaan dia mengumpul kekayaan untuk diri sendiri semasa berkuasa.
SPRM mengarahkan anak-anak Mahathir, Mirzan dan Mokhzani, mendedahkan aset sejak 1981, ketika bapa mereka pertama kali menjadi perdana menteri.
Mirzan dikehendaki mengisytiharkan aset sebagai sebahagian daripada siasatan yang berpunca daripada laporan Kertas Panama dan penglibatannya dalam penjualan dan pemerolehan syarikat berkaitan kerajaan.
Mokhzani, sebaliknya, sedang disiasat atas dakwaan pelanggaran Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Kedua-duanya mematuhi perintah tersebut.
Mahathir juga berang dengan Anwar selepas rakan rapatnya dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin diheret ke mahkamah.
Selepas kematian Daim pada November lalu, Mahathir berkata dia sedih kerana Daim patut disanjung atas sumbangannya tetapi di akhir hayatnya dikecam kerana dendam.