PAS hari ini menegaskan pendirian untuk terus beristiqamah dalam konsep keadilan Islam, dengan mengutamakan pengampunan berbanding politik dendam dan penipuan.
Presidennya, Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan, berkata bahawa prinsip itu berasaskan ajaran Rasulullah SAW yang mementingkan kemaafan dan keadilan.
Mengulas isu terkini yang berkaitan titah tambahan dalam kes Najib Razak, Abdul Hadi menyatakan bahawa PAS tidak menganggap pelik adanya titah tersebut.
“Mereka yang menolaknya, sama ada kerana jahil agama atau kalangan bukan Islam atau dendam dan tidak sabar ketika berkuasa.
“PAS tetap menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi, termasuklah terhadap orang yang paling bermusuh dengannya,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim memutuskan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Nizar, serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan addendum diraja (Sultan Pahang sekarang adalah Yang di-Pertuan Agong sehingga 30 Januari tahun lalu).
Najib mendakwa bahawa terdapat titah diraja tambahan yang bertarikh 29 Januari tahun lalu, yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Pada 29 Januari tahun lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Hukuman ini berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi merujuk kepada peristiwa bersejarah Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) di mana Rasulullah SAW menunjukkan contoh pengampunan penuh kepada mereka yang pernah menjadi musuh Islam.
Presiden PAS itu turut memetik beberapa ayat al-Quran, antaranya dari Surah al-Ma’idah dan Surah al-Baqarah, yang menyeru umat Islam agar berlaku adil walaupun terhadap musuh, dan mengutamakan kemaafan sebagai lambang ketakwaan.
Dia juga mengkritik pihak yang menolak konsep itu dan menyifatkan mereka sebagai jahil agama atau dipengaruhi dendam politik.
“Konsep adil kepada semua dan mendahulukan kemaafan menjadikan konsep Islam berjaya mengalahkan golongan penjajah yang lebih kuat dan kaya.
“Banyak kenyataan tokoh ilmuwan dan politik Barat melabelkan slogan Islam itu lebih bahaya daripada fahaman komunis yang dianggap paling kejam dan penjajah liberal yang paling menipu dan ganas.
“Sehingga mencetuskan fitnah Islamofobia dan bahaya gelombang hijau yang ditaja oleh DAP,” katanya lagi.