Pemuda PAS Kelantan tampil membalas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai menyindir Kelantan dalam isu video promosi pelancongan negeri.
Ketuanya Mohd Kamal Mohamed mempersoalkan sama ada Anwar tidak membaca berita atau penasihatnya tidak sampaikan berita yang betul.
Apabila video Tahun Melawat Malaysia 2026 dikritik, katanya, perdana menteri turut menyindir video Tahun Melawat Kelantan yang didakwa tiada memaparkan gambar masjid.
“Dia pun sindir Kelantan, dia kata (video) Kelantan pun tak ada gambar masjid.
“Eh Anwar ni dia tak baca berita atau penasihat dia tak sampaikan berita yang betul?
“Boleh tengok video Tahun Melawat Kelantan 2024, awal-awal lagi dimasukkan Masjid Mekah (Gua Musang), Masjid Beijing (Rantau Panjang) dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Anwar menggalakkan rakyat memberi cadangan menambah baik video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjadi kontroversi baru-baru ini susulan kecaman pemimpin PN kerana tidak memaparkan masjid.
Dia berkata isu montaj pada majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 itu tidak patut diperbesarkan apatah lagi menjadi isu perkauman sempit.
"Usahlah berhempas pulas bergaduh, mempertahankan penyelewengan, pertahankan pemborosan, memainkan isu perkauman dan mempertahankan rasuah besar. Ini semua tidak akan membantu negara kita.
"Kita nak rakyat tumpu kepada hal yang besar, bukan (tumpu) soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat. Video pelancongan Kelantan pun tak ada nampak masjid,” katanya.
Sebelum ini isu video montaj TTM 2026 berdurasi 41 saat dikritik kerana kerana tidak memaparkan masjid berbanding rumah ibadat agama lain.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata video montaj yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang bagi TMM2026 Isnin lepas, bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi.
Jelasnya ia hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.
Sementara itu, Mohd Kamal berkata, sindiran Anwar itu menunjukkan dia tidak layak menjadi perdana menteri.
“Ini menunjukkan anwar memang tak layaklah jadi perdana menteri, turunlah dengan segera kita mohon sebab kasihan tengok,” katanya dengan nada sinis.