Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memohon perintah larangan ulasan (gag order) berhubung kes semakan kehakiman berhubung titah tambahan yang melibatkan Najib Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan perkara itu oleh AGC yang mewakili Lembaga Pengampunan dan kerajaan.
Peguam bekas perdana menteri, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan bahawa AGC telah memaklumkan demikian semasa pengurusan kes di hadapan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
"Mereka (AGC) akan memfailkan permohonan untuk perintah perlindungan dan perintah larangan," kata Farhan selepas pengurusan kes itu. Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac untuk pengurusan kes lanjut.
Sementara itu, Bernama memetik Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam lagi responden sebagai berkata permohonan itu dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.
“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Jan ini dan Najib perlu memfailkan afidavit balasan dalam tempoh seminggu.
“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian (e-Review) pada 11 Mac ini,” kata Shamsul ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes.
Dia juga berkata pihaknya akan membantah permohonan Takiyuddin Hassan, Azhar Azizan Harun dan Zulkifli Noordin untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes tersebut untuk mewakili Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee.
“Mahkamah mengarahkan permohonan untuk peguam pemerhati tersebut untuk difailkan secara rasmi pada 27 Jan ini dan kerajaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 10 Feb ini,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata pihaknya akan membantah permohonan perintah larangan bersuara kerana kes tersebut adalah kepentingan awam dan telah dibincangkan secara meluas termasuk di Parlimen.
Najib memohon semakan kehakiman bagi menguatkuasakan dakwaan titah tambahan yang membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan afidavit sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima sebagai bukti.
Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan memberi kebenaran bagi mendengar permohonan Najib untuk didengar. Mahkamah juga membenarkan Najib menggunakan afidavit anaknya, Nizar, yang mendakwa Istana Pahang mengesahkan kewujudan titah tambahan.
Pada 29 Januari tahun lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib kemudian mendakwa terdapat titah tambahan yang membolehkan dia menjalani hukuman di rumah, dan bukan di Penjara Kajang.
Hukuman ini berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.