Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI Batu Puteh: Mahkamah tolak semakan kehakiman Mahathir

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Dr Mahathir Mohamad untuk diwakili peguam berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali,yang mewakili bekas perdana menteri itu, berkata Hakim Amarjeet Singh menolak semakan kehakiman itu tanpa memberi sebarang alasan atau perintah mengenai kos.

Selain Muhammad Rafique, Mahathir juga diwakili oleh peguam Zainur Zakaria manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan mewakili responden.

"Mahkamah telah menolak semakan kehakiman tersebut dan mahkamah tidak memberikan sebarang alasan.

"Mahkamah menyatakan mahkamah akan menyediakan jawapan secara bertulis," kata Zainur etika ditemui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI.

Amarjeet menetapkan hari ini bagi keputusan semakan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan yang dicapai hari ini.

Ia selaras dengan kehendak anak guamannya yang mahu mengrmukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Arahan daripada anak guam jelas, kita akan merayu di Mahkamah Rayuan dan masa ke semasa kita akan maklumkan," katanya lagi.

Jelasnya, pihaknya akan memfailkan rayuan berkenaan hari ini.

Pada 12 Jun tahun lepas, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup, dan RCI telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Dis 2024.

Laporan RCI antaranya berpendapat bahawa Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan, walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian permohonan tersebut untuk berjaya.

Dua permohonan itu adalah bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dalam laporan setebal 217 muka surat, RCI turut mengesyorkan agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dan beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Dr Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Md Raus Sharif dan mendakwa dia tidak dibenarkan untuk diwakili peguam pilihannya pada prosiding RCI, selain mendakwa dirinya mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihan dalam siasatan berkenaan.

Dr Mahathir memohon satu perisytiharan bahawa dia adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya, justeru dia memohon perintah mandamus untuk membenarkannya dan peguam hadir sepanjang prosiding RCI.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS