Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelbagai pihak persoal isu tambang bas sekolah naik
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada Februari ini, menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Bagi Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, kenyataan itu bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini yang dengan tegas memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah supaya tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana mereka  menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

“Jadi di sini PM (Anwar) sudah kata bahawa kalau pengusaha bas naikan tambang, kerajaan akan tarik balik lesen…hebat ucapan PM.

“Saya pun sokong hampir nak melompat, kita bertepuk tangan ketika itu. (Tetapi) tiba-tiba sekarang, Kementerian Pengangkutan kata kerajaan tidak ada kuasa.

“Ini yang pelik ni, siapa yang betul, siapa yang tak betul? Kementerian Pengangkutan betul, PM tidak betul ke atau PM yang tak betul dan Kementerian Pengangkutan yang betul?

“Atau kedua-duanya tak betul? Kalau semua sudah tak betul, memang kena turunlah kerajaan sekarang ni, setuju atau tidak setuju?” soalnya dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Anthony Loke, Menteri Pengakutan

Loke, Jumaat lalu dipetik media sebagai berkata, kementeriannya tidak bertanggungjawab mengawal kadar tambang bas sekolah kerana isu ini tidak berada di bawah bidang kuasa mereka.

Ketika ditanya mengenai isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka meningkat antara RM5 hingga RM10,  Loke memaklumkan isu tambang bas “sudah tidak lagi regulated” dan ia adalah antara “perbincangan dan persetujuan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan pengusaha.” 

Bagaimanapun, Anwar ketika berucap dalam program Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jun tahun lalu memberi amaran akan menarik balik lesen pengusaha bas sekiranya menaikkan tambang.

Anwar Ibrahim

Sementara itu, tokoh wartawan negara, A Kadir Jasin dalam satu hantaran di Facebook berkata, kenaikan tambang itu adalah kerana kenaikkan harga diesel sebanyak 56 peratus sejak Jun tahun lalu.

“Apabila harga diesel naik sebanyak itu, buatlah macam mana pun, kos pengangkutan akan naik juga. 

“Dalam menteri pengangkutan merangkap setiausaha agung DAP itu merintih kerajaan tidak ada kuasa, Menteri Kewangan ll, Amir Hamzah Azizan, pula gembira dengan penjimatan akibat pelaksanaan subsidi bersasar ke atas diesel. 

“Dia kata, kerajaan jangka jimatkan RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun dengan kenaikan harga diesel itu. 

“Jangan kecil hati kalau saya kata, nampaknya menteri bukan ahli politik lebih power daripada menteri yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Menurut Kadir, menteri kewangan II dilantik oleh perdana menteri, bukan melalui undian rakyat, dan bertanggungjawab terhadap pengurusan dasar fiskal negara. Tugasnya termasuk mengutip cukai dan membelanjakan hasilnya untuk memaksimumkan impak ekonomi, sementara kebajikan rakyat menjadi tanggungjawab perdana menteri dan menteri-menteri terpilih.

Ramai profesional bukan ahli politik kini memegang peranan penting dalam pengurusan ekonomi negara. 

Bekas pengarang kumpulan NST itu berkata, peranan mereka lebih tertumpu pada dasar berbanding menyelesaikan isu harian rakyat.

“Bayangkanlah kalau menteri yang diundi oleh rakyat jelata pun kata tak boleh buat apa-apa terhadap keluhan ibu bapa mengenai kenaikan tambang bas sekolah, apa lagi ahli-ahli profesional.

“Bukan kerja mereka layan rayuan rakyat jelata,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS