Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhenti menuduh pembangkang terlibat dalam skandal rasuah negeri itu.
Bung menegaskan Umno secara konsisten menafikan penglibatan dalam mencipta atau berkongsi video tular, namun Naib Presiden GRS Masiung Banah terus mengalihkan perhatian orang ramai ke arah pembangkang.
"Di dalam semua video yang tular, termasuk video membabitkan Masiung sendiri, jelas menunjukkan urusan rundingan yang berlaku hanya melibatkan wakil-wakil rakyat GRS.
"Tiada kelibat atau penglibatan mana-mana individu dari pihak pembangkang.
"Rundingan dan perbincangan tersebut adalah urusan dalaman mereka yang akhirnya menemui jalan buntu,” katanya dalam satu kenyataan.
Awal hari ini, Berita Harian melaporkan Masiung menyifatkan dakwaan video rasuah itu sebagai cubaan pembangkang untuk menjejaskan imej wakil rakyat GRS selepas gagal menggulingkan kerajaan negeri melalui Langkah Kinabalu pada awal 2023.
Kontroversi rasuah itu tercetus pada November selepas Malaysiakini melaporkan pendedahan pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai bukti rasuah melibatkan lapan Adun Sabah, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor.
Hajiji menyifatkan video itu sebagai "diedit" dan menafikan dakwaan rasuah, namun kemudiannya mencadangkan perbualan yang dirakamkan mungkin mengenai derma politik.
Bung, yang juga ahli parlimen Kinabatangan, berhujah bahawa rakaman itu secara langsung menunjukkan wakil GRS menerima wang, dengan bukti visual dan audio.
"Ini adalah bukti jelas salah laku yang melanggar undang-undang, tanpa sebarang kaitan dengan pembangkang," katanya.
Dia seterusnya mengecam kerajaan pimpinan GRS kerana menurutnya gagal mengambil tindakan berhubung perkara itu.
“Jika tuduhan ini tidak benar, mengapa sehingga hari ini tiada tindakan saman diambil terhadap media atau pihak yang menyebarkan video tersebut?
"Sebaliknya, mereka memilih untuk memberikan kenyataan seperti, 'saya move on dan teruskan kerja', 'video kami disunting' yang hanya menimbulkan lebih banyak persoalan," katanya.
Bung mengingatkan kerajaan negeri bahawa orang ramai semakin matang dan bijak menilai.
“Tindakan sebegini hanya akan membuka mata mereka tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dalam isu ini,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Sabah Sazalye Donol Abdullah menyatakan sokongan penuh dan keyakinan Hajiji terus menerajui kepimpinan negeri.
Sazalye menyatakan bahawa PKR Sabah yakin Hajiji boleh mengemudi Sabah ke arah kecemerlangan, kemajuan, dan penghormatan.
“Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaannya, kerana ia secara langsung akan mengakibatkan ketidakstabilan politik dan boleh membawa kepada krisis politik baru di Sabah.
“Kami akan terus menyokong kepimpinan Hajiji sebagai pemimpin negeri, kerana kepimpinan beliau telah menyumbang secara langsung kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” katanya.