Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Zahid dilantik ahli lembaga pengarah UPM
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Nurul Hidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dilantik menganggotai lembaga pengarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut surat pelantikan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir, tempoh perkhidmatan Nurul akan bermula dari 2 Jan 2025 hingga 1 Jan 2028.

Surat itu menyatakan bahawa pelantikannya mewakili "komposisi berpengetahuan dan berpengalaman" mengikut Subseksyen 18(1) perlembagaan UPM.

Selepas surat itu tular di media sosial, Nurul berkongsi foto graduasinya di Instagram, dengan keterangan: “Alma mater. UPM 1999–2002. Bismillah.”

Dalam story Instagram, dia menambah:"Sireh pulang ke gagang. Berilmu berbakti. Alma mater. Bismillah".

Pelantikan itu telah mencetuskan kritikan, termasuk daripada artis grafik Fahmi Reza, yang berkongsi 'resume' satira Nurul.

'Resume' satira itu dikongsi di media sosial Fahmi, memaparkan nama Nurul, foto, dan gelaran "Anak Zahid Hamidi".

Di bawah bahagian "Tentang Saya", dia menyenaraikan kelayakan utamanya sebagai anak Zahid.

Fahmi juga secara berjenaka memperincikan "pengalaman kerja" sebagai "Puteri Presiden Umno," "Puteri Menteri Dalam Negeri," dan "Puteri Timbalan Perdana Menteri," sepadan dengan pelbagai peranan Zahid sebagai menteri sejak 2004.

Untuk pendidikan dan kemahiran, satu-satunya entri ialah “Anak Zahid Hamidi,” manakala bahagian rujukan menyatakan, “Sila hubungi ayah saya untuk rujukan.”

Dokumen sindiran itu juga termasuk ikon media sosial berlabel "Anak Zahid."

Malaysiakini telah menghubungi Zambry dan UPM untuk mendapatkan ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS