Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LA terbakar: PAS ucap takziah, gesa Trump batal niat jadikan Gaza 'neraka di bumi'
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 9:29 AM
Dikemaskini: 1:29 AM
1

PAS merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran hutan yang memusnahkan Los Angeles.

“Hati kami berdukacita buat mereka yang telah cedera, kehilangan tempat tinggal, atau telah melihat rumah dan mata pencarian mereka musnah akibat malapetaka ini,” kata ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, dia menggesa presiden Donald Trump untuk lupakan sebarang niat untuk menjadikan Gaza sebagai "neraka di bumi".

“Daripada menyemarakkan kemusnahan dan konflik, marilah kita memperjuangkan usaha kemanusiaan, keamanan, dan keadilan untuk semua orang, tanpa mengira kewarganegaraan atau agama,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sukar ini, PAS berkata ia bersolidariti dengan rakyat Los Angeles.

“Skala tragedi ini tidak dapat dibayangkan, dan kami mengakui keberanian anggota bomba, responden pertama dan sukarelawan yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan orang lain dan mengawal api.

“Kami menggesa kerajaan, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat antarabangsa untuk mengutamakan usaha bantuan segera. Bantuan kecemasan, tempat perlindungan sementara, bantuan perubatan, dan rancangan pembinaan semula jangka panjang mesti dilaksanakan dengan pantas untuk membantu mereka yang terjejas membina semula kehidupan mereka,” kata Fahdli.

Fadhli menggesa Trump untuk menyalurkan fokus dan sumbernya ke arah membantu mangsa bencana ini pulih dan membina semula kehidupan mereka.

“Rakyat Los Angeles memerlukan kepimpinan yang kuat, belas kasihan, dan tindakan dalam menghadapi tragedi ini.

“Kami berdoa untuk agar rakyat yang terjejas tabah, dan kami berharap untuk masa depan di mana pemimpin mengutamakan membina semula kehidupan, memupuk perpaduan, dan memastikan keselamatan untuk semua. Semoga tragedi ini mengingatkan kita tentang kemanusiaan kita bersama dan keperluan mendesak untuk belas kasihan dalam dunia yang sudah dibebani dengan penderitaan.

"Semoga penduduk Los Angeles mendapat kekuatan, dan semoga dunia bekerjasama untuk keamanan dan bukannya kemusnahan," tambahnya.

Minggu lalu, Trump memberi amaran agar tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza dibebaskan sebelum pelantikannya pada 20 Jan.

“Ia tidak akan baik untuk Hamas dan terus terang, ia tidak akan baik untuk sesiapa sahaja,” tambahnya.

Kebakaran hutan di Los Angeles telah memusnahkan beribu-ribu rumah dan mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa. Sekurang-kurangnya 16 lagi hilang, dan pihak berkuasa berkata jumlah itu dijangka meningkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS