Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat petang ini

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat petang ini berbanding pagi tadi manakala di Perak tidak banyak berubah.

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,779 orang setakat 4 petang, berbanding 3,449 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,080 keluarga itu berlindung di 36 PPS yang diaktifkan di lima daerah terjejas.

"Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terkesan dengan 1,174 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Johor Bahru (768), Kulai (735), Pontian (556) dan Kluang (546).

"Selain itu, hanya Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melepasi paras bahaya dengan bacaan 15.70 meter (m)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Sementara itu, di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Manjung meningkat kepada 31 orang daripada sembilan keluarga berbanding 30 orang daripada lapan keluarga, pagi tadi.

Sekretariat itu memaklumkan kesemua mangsa terbabit berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak Khamis lepas.

"Kesemua mangsa merupakan penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43 m berbanding paras normal 165.10 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan di kesemua 12 daerah di Perak pada sebelah malam hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS