Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Titah adendum: Jangan libat Majlis Raja-raja, bincang di parlimen - MP PKR
Diterbitkan:  Jan 12, 2025 10:19 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Seorang ahli parlimen PKR menepis cadangan peguam Haniff Khatri Abdullah untuk Majlis Raja-Raja membincangkan dakwaan Putrajaya enggan mengakui dan melaksanakan titah adendum berhubung hukuman penjara Najib Razak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata isu berkenaan lebih sesuai dibincang di parlimen.

“Haniff Khatri dikatakan memohon Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan keingkaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara sebelum ini, mengakui kewujudan titah adendum berkaitan bekas Najib.

"Haniff Khatri mempersoalkan mengapa sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiam diri dan tidak mengakui kewujudan titah berkenaan.

"Cadangan Haniff Khatri yang ingin melibatkan Majlis Raja-Raja adalah satu tindakan yang bahaya yang boleh membawa wujudnya krisis perlembagaan di negara ini,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Hassan mengingatkan Haniff kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa Majlis Raja-Raja.

Menurut Hassan, Majlis Raja-Raja tidak mempunyai kuasa sedemikian untuk membincangkan dakwaan keengganan perdana menteri seperti yang disarankan oleh Haniff.

Sebaliknya, tegas Hassan, platform yang sesuai untuk merujuk perdana menteri ialah Parlimen.

Tambahnya lagi, Hassan berkata soalan yang dibangkitkan Haniff juga akan dijawab di mahkamah ketika semakan kehakiman Najib mengenai titah adendum itu didengar.

Haniff Khatri Abdullah

Ini termasuk sama ada adendum itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan jika ia memenuhi Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa lembaga itu perlu membincangkan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan oleh Peguam Negara.

“Jadi kita dapat kita ketahui bukan sekarang tetapi apabila permohonan semakan kehakiman Najib didengar tidak lama lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Maka dengan rendah hati dan hormat kepada sahabat saya peguam senior Haniff Khatri supaya bersabar dulu.

"Jangan cepat hendak menyalahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ataupun Peguam Negara. Dan yang lebih penting saya nasihatkan janganlah mengheret negara kita ke kancah Krisis Perlembagaan berkaitan isu titah adendum tersebut. Biarlah Mahkamah merungkai segala kekusutan," katanya.

Semalam, Haniff menyiarkan di Facebook rayuannya agar Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai dakwaan Anwar dan pentadbirannya enggan memperakui titah tambahan itu.

Ini berlaku selepas Anwar mengakui bahawa Peguam Negara menerima surat berhubung titah adendum yang memerintahkan untuk Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Bagaimanapun, Anwar berkata selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar, dan Peguam Negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baru dilantik, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS