PULASAN | Pada suatu hari yang tenang dan lapang, datanglah ilham seorang rakan apabila dia sengaja mahu 'bermain-main' dengan salah satu kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang ada.
Tidak ada sebarang niat serius daripada dia pun kecuali untuk bersuka-suka dengan teknologi.
Dia menuliskan arahan (lebih kurang) begini: Buatkan artikel seperti 'pulasan' Al-Abror Mohd Yusuf.
Nawaitu rakan berkenaan sekadar mahu menunjukkan bagaimana AI sekarang semakin boleh diharap dan mungkin mampu disandarkan untuk memudahkan kerja.
Selepas kekunci 'Enter' ditekan, AI itu 'berfikir'' sedetik dua.
Kemudian lahirlah sebuah karangan sederhana panjang. Ia sudah tentu tidak sama seperti 'pulasan-pulasan' yang pernah disiarkan di sini. Namun sedikit sebanyak ada bau-bau bacang dengan pulasan itulah.
Malah ayat sinis dan satira AI ala Al-Abror Mohd Yusuf itu sudah bermula seawal namanya!
Sehari dua ini tumbuh pula polemik mengenai gambar maskot kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dikeluarkan kerajaan. Ia muncul sebelum orang ramai kecoh dengan ghaibnya masjid dalam video dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu lagi.
Kita yang sedang sibuk dengan hidup ini pun terpaksa melayan tanda tanya sama ada logo VM2026 itu terhasil oleh kreativiti manusia atau janaan AI. Dalam bahasa lain, ia adalah benih untuk menghasilkan perdebatan bahawa pereka-pereka yang ada di kementerian tersebut malas-malas belaka.
Sebelum ini pun sudah ada polemik yang ditimbulkan berkaitan logo kempen kerajaan. Sebabnya ialah, logo yang direka itu sangat hodoh dan seolah-olah tangkap muat saja.
Sesumpah mengaku kalah
Sebenarnya kita berhak berasa ngeri kerana pada 2025 ini kita sudah berdepan dengan krisis keyakinan terhadap kemampuan manusia. Ia berlaku ketika sebahagian daripada kita belum benar-benar bersedia bersaing dengan AI.
Pun begitu jika kita menghela nafas dalam-dalam dan pejamkan mata seketika untuk berfikir dengan jernih, kita akan tahu bahawa dilema untuk mencari sesuatu yang asli dan benar sebenarnya sudah wujud sejak sebelum adanya AI.
Dari semasa ke semasa kita akan berdepan dengan manusia yang digerakkan oleh kecerdasan tersendiri lalu dengan lihat bersandiwara itu ini. Meminta belas untuk meminjam wang bagi mengeluarkan dirinya daripada kesempitan, misalnya.
Atau bersandiwara dengan menunjukkan sifat yang terpuji lagi ikhlas, tetapi sebenarnya menjadi gunting dalam almari pakaian. Sebab itu kita sudah belajar peribahasa seperti "menanam tebu di pinggir bibir" misalnya, atau "telunjuk lurus kelingking berkait".
Kita juga ada peribahasa "ada udang di sebalik batu."
Tidak ketinggalan, kita juga mewah dengan perumpamaan terkait dengan haiwan. Dan ia sudah tentu tidak perlu diberikan contoh kerana sudah terlalu banyak digunakan.
Semua itu adik-beradik kepada AI juga. Cuma ia perlu dikenali dengan nama yang sedikit lain - buat cerdas. Matlamatnya adalah mudah dan jelas iaitu mengenakan orang lain.
Namun AI - atau buat cerdas - yang paling berjaya setakat ini ialah apa yang ada pada orang politik. Ia sampai ke satu tahap seolah-olah sesumpah sendiri akan mengaku kalah melihat cekapnya seseorang ahli politik mengubah wajah, pakaian atau pendirian berdasarkan kepentingan tertentu.
Kamu silap jika menganggap mereka melakukan antics tersebut demi agama, bangsa atau negara. Juga bukan demi parti. Lebong saja semua itu. Sebaliknya mereka menjadi super sumpah-sumpah demi kepentingan diri.
Misalnya apa yang mereka kecam dan keji lima enam tahun lalu, dengan bersahaja dilupakan. Ya, sudah tentu ia dibuat dengan beralaskan dalil yang sakral, tetapi dipulas-pulas untuk sesuai dengan kehendak sendiri.
Lalu tanpa rasa malu walaupun sedikit orang politik sebegitu rela menjilat ludah dan kahak masing-masing dengan penuh berselera.
Mereka adalah AI terunggul yang pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah melihat ketakutan sesetengah orang kepada AI suatu ketika dulu.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.