Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 sekeluarga termasuk bayi maut dalam nahas di Nenasi

Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi - Rompin, dekat Nenasi, Pekan, Pahang lewat petang tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu jam 7.14 malam.

"Sebanyak empat kenderaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin dan Nenasi dihantar ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.

"Berdasarkan laporan awal, nahas membabitkan kenderaan jenis Nissan Grand Livina dinaiki dua penumpang dan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki lima penumpang.

"Pemandu dan penumpang Grand Livina mengalami kecederaan manakala semua penumpang Proton Wira Aeroback didapati tersepit dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, seramai 23 pegawai dan anggota dari BBP Kuala Rompin dan Nenasi terbabit dalam operasi membantu mengeluarkan mangsa dalam nahas berkenaan.

Dia memaklumkan, lima mangsa dalam kereta Proton Wira Aeroback itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan yang tiba di tempat kejadian.

"Mereka dipercayai daripada satu keluarga... dua daripadanya adalah lelaki dan wanita dewasa, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi," tambahnya.

Bagaimanapun, identiti semua mangsa yang terkorban belum diperoleh dan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan, semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pekan bagi proses bedah siasat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS