Dua lagi kakitangan dan seorang bekas kakitangan agensi sebuah kementerian ditahan reman empat hari kerana dipercayai terlibat dalam rasuah bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 30-an membabitkan dua wanita dan seorang lelaki itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan sekitar 3.30 petang hingga 5 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes.
“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek adalah susulan operasi dijalankan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader, Rabu lepas, iaitu seramai lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian ditahan.
"Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP, pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat yang menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan dan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom," katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung jenis dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit, menurut sumber berkenaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
- Bernama