Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung titah tambahan diraja yang membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, dia menyebut selepas surat itu diterima, Agong bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.
"Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.
"Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” kata Anwar semasa berucap di Program Muhibbah Madani hari ini.
Anwar menambah dalam satu mesyuarat yang dihadirinya, Peguam Negara telah menasihatkan Agong terdahulu bahawa baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat keputusan, tetapi keputusan itu mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan di luar mesyuarat tersebut.
Anwar tidak menyebutkan nama peguam negara berkenaan namun dia dipercayai merujuk kepada peguam negara sebelum ini, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Ahmad Terrirudin berkhidmat dari 6 Sept 2023 hingga 11 Nov 2024 sebelum digantikan oleh Mohd Dusuki Mokhtar.
Istana Pahang sahkan titah adendum
Dalam mesyuarat pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sehari kemudian, pada 30 Januari 2024, Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menamatkan tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurut sepucuk surat daripada Istana Pahang bertarikh 4 Januari 2025, yang dihantar kepada anak Najib, Nizar, dan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan pada 6 Januari, Sultan Abdullah menitahkan bahawa Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan rumah, seperti yang dinyatakan dalam titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan tersebut.
Bekas perdana menteri itu kini dibenarkan menggunakan titah tersebut dalam kesnya di Mahkamah Tinggi.
Pada 8 Januari, Terrirudin dan Dusuki enggan menjawab pertanyaan media berkaitan titah tambahan tersebut.
Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International iaitu bekas anak syarikat 1MDB.
‘Yang tangkap Mahathir, yang dakwa Muhyiddin’
Anwar dalam pada itu membidas sokongan tiba-tiba pembangkang terhadap Najib dan mengingatkan pemimpin PN bahawa bekas ahli parlimen Pekan itu ditangkap dan dibicarakan ketika pentadbiran mereka.
"Kita telus je lah, apa yang menjadi masalah? Mengapa nak pecah? Yang nak tumpang (isu) ni siapa? Bersatu dengan PAS.
"Yang siasat, dulu dedah segala rumah ada ratus-ratus juta semua ni masa mana? Masa perdana menteri tu Tun Mahathir (Mohamad), penasihat hampa ni.
"Tun Mahathir sekarang ni jadi musyidul am empat negeri PAS.
Yang salah siapa, Anwar Ibrahim.
"Yang suruh tangkap (Najib), Mahathir. Yang dakwa, Muhyiddin. Yang hukum Ismail Sabri
"Yang saya buat, bagi la dia (Najib) peluang rayuan," kata Anwar.