PAS menyifatkan pihak yang mendakwa parti itu menunggang isu titah adendum berkaitan perintah tahanan rumah terhadap Najib Razak sebagai tidak memahami isu sebenar.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu menjelaskan, kehadiran mereka semasa himpunan solidariti terhadap bekas perdana menteri itu di Putrajaya Isnin lalu adalah untuk melihat ketelusan kerajaan berkaitan kewujudan titah berkenaan.
"Orang itu tak faham isu, dia kalau nak berpolitik kena tengok isu... boleh saja kita nak cakap apa-apa. Kerajaan pun tunggang isu ini juga.
"Kita nak bagitau, kita bukan bercakap pasal membela kleptokrasi, bukan nak membela atas batang tubuh individu tertentu.
"Kalau bersalah, jatuhkan hukuman... rakyat cuma nak tahu, (Adendum itu) ada atau tidak... itu saja," katanya ketika sidang media selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu, PAS Pahang membuat tujuh laporan polis berkaitan titah adendum berkenaan.
Manakala Bersatu Pahang membuat tiga laporan polis ke atas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin yang didakwa mempertikaikan titah tersebut.
Dalam pada itu, Andansura menggambarkan kerajaan hari ini tersilap langkah apabila bertindak menyembunyikan perkara sebenar berkaitan titah adendum itu.
Katanya, kalau dari awal kerajaan berterus-terang dalam hal itu, Najib tak perlu membawa perkara terbabit ke mahkamah.
"Apa yang berlaku sekarang adalah kerajaan sudah tersalah langkah... mereka memandang rendah kemampuan rakyat untuk mendapatkan maklumat.
"Dia (kerajaan) ingat dia boleh sorok, rakyat tak tahu... strategi menyembunyikan perkara penting ini akan makan tuan, jadi kerajaan bersedialah untuk jatuh," tegasnya lagi.
Ditanya mengenai ketiadaan wakil daripada parti lain yang tampil membuat laporan polis berkaitan titah adendum, Andansura berkata parti lain mungkin mempunyai kepentingan tertentu.
Minggu lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengesahkan kewujudan titah adendum tersebut dan melaksanakannya.
Pasukan peguam Najib menyerahkan sepucuk surat dari Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah itu untuk menyokong rayuannya.
PAS dan Bersatu sebelum ini mendakwa kerajaan "bersubahat" untuk menyembunyikan adendum tersebut.
‘Kenyataan Shamsul menghina Sultan Pahang’
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pengerusi Bersatu Pahang, Saifuddin Abdullah memberitahu, sikap kerajaan dalam menguruskan hal berkaitan adendum sangat pelik.
Katanya, tindakan Shamsul Iskandar mempersoalkan kewujudan titah adendum itu juga dilihat sebagai tidak wajar.
Pada 9 Jan lalu, Shamsul dilapor berkata surat Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah itu adalah tidak berapa tepat.
Bercakap dalam rancangan temubual di Radio Bernama, Shamsul menyifatkan pengesahan tersebut harus datang dari Istana Negara bukannya Istana Pahang kerana titah tersebut dibuat melalui saluran Istana Negara.
"Petikan temubual Shamsul Iskandar mempersoalkan titah adendum itu boleh menyebabkan penghinaan kepada baginda Sultan Pahang.
"Siasatan perlu dibuat terhadap Shamsul Iskandar kerana kenyataan dibuatnya itu secara jelas menyentuh elemen 3R.
"Jadi, kami (Bersatu Pahang) hari ini tampil membuat laporan polis membabitkan kenyataan dibuat individu berkenaan," kata Saifuddin.