Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sorok titah adendum' - Zaliha digesa seret penuduh ke mahkamah
Diterbitkan:  Jan 11, 2025 3:04 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduhnya menyembunyikan titah adendum berkaita Najib Razak menjalani pemenjaraan di rumah.

Lim berkata tuduhan tidak berasas ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan kerana ia mencemarkan reputasi menteri serta kerajaan.

Katanya, mahkamah boleh menyelesaikan isu adendum ini sekali gus jika pihak-pihak berkaitan dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurut Lim (gambar bawah) tuduhan palsu itu telah mencemarkan nama baik Zaliha dan mencabar integriti kerajaan.

“Zaliha harus mempertimbangkan tindakan undang-undang, termasuk saman fitnah, terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam menyebarkan tuduhan tidak berasas tersebut.

“Ini penting untuk melindungi reputasinya dan memastikan kebenaran ditegakkan,” katanya.

Lim mencadangkan jika Zaliha menyeret pihak berkenaan ke mahkamah maka Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri boleh dipanggil untuk memberi keterangan sebagai sekretariat Lembaga Pengampunan bagi memastikan fakta mengenai isu adendum dapat dipastikan.

Katanya lagi, tindakan ini dapat menyangkal sebarang tuduhan titah adendum atau sebarang arahan rasmi dari Istana Negara telah diterima oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

“Diharapkan keputusan mahkamah dalam perkara ini dapat merungkai isu berkaitan kesahihan addendum dan menghentikan spekulasi yang boleh mengancam kestabilan negara,” tambah Lim.

Di mana Zaliha dalam isu adendum?

Zaliha merupakan ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang bermesyuarat pada 29 Januari 2024 dan memberikan pengampunan berupa pengurangan hukuman kepada Najib atas sabitan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International melibatkan RM42 juta.


BACA BERKAITAN:

KJ: Menteri Umno sorok titah adendum Najib

KJ 'burukkan' menteri: Dua laporan polis dibuat

'Perang' adendum: Zaid kecam Azalina adukan KJ ke polis


Hukuman bekas perdana menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Najib dan penyokongnya mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, telah melampirkan satu titah tambahan yang mengarahkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengesahkan kewujudan titah adendum tersebut dan melaksanakannya.

Pasukan peguam Najib menyerahkan sepucuk surat dari Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum untuk menyokong rayuannya.

Sejak itu, ahli politik Umno, PAS dan Bersatu menuduh kerajaan serta pegawai berkaitan, termasuk Zaliha "bersubahat" untuk menyembunyikan addendum tersebut.

Tuduhan ini telah dinafikan menteri itu dengan tegas, termasuk pembantunya membuat laporan polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS