Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat memberi cadangan menambah baik video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjadi kontroversi baru-baru ini susulan kecaman pemimpin PN kerana tidak memaparkan masjid.
Bagaimanapun, Anwar hari ini berkata isu montaj pada majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 itu tidak patut diperbesarkan apatah lagi menjadi isu perkauman sempit.
"Usahlah berhempas pulas bergaduh, mempertahankan penyelewengan, pertahankan pemborosan, memainkan isu perkauman dan mempertahankan rasuah besar. Ini semua tidak akan membantu negara kita.
"Kita nak rakyat tumpu kepada hal yang besar, bukan (tumpu) soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat. Video pelancongan Kelantan pun tak ada nampak masjid.
"Kalau ya pun, bagi cadangan, kita baiki. Tetapi inilah dia, dibawa hal-hal ini untuk meretakkan hubungan antara satu sama lain dan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain," katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.
Perdana menteri menasihatkan semua rakyat supaya tidak memberi tumpuan isu remeh seperti isu perkauman yang akan mengganggu usaha negara untuk muncul sebagai negara maju yang mempunyai hubungan baik dengan negara luar.
Kata Anwar, sekarang bukan masanya untuk rakyat terbuai dengan fahaman sempit, soal kaum atau soal kedaerahan yang tidak akan membantu pembangunan negara.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar menyambut baik keputusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menghasilkan semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Ini selepas kontroversi montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dikecam hebat pemimpin PN kerana tidak memaparkan imej masjid, sebaliknya hanya menampilkan kuil dan gereja.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan Tiong King Sing menjelaskan video montaj yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang bagi TMM2026 Isnin lepas, bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi.
Dia berkata ia hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.
Kata Tiong video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya, dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.
Tiong turut mengingatkan semua pihak terutama warganet agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.
Menteri itu berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan atau kritikan membina daripada pelbagai pihak.