Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengkritik penggantinya Azalina Othman Said berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Khairy Jamaluddin berkaitan kenyataan mengenai kontroversi addendum diraja.
“Kenapa buat laporan polis? Tiada apa-apa dalam kenyataan Khairy yang dianggap sebagai kesalahan.
“Ramai orang berkongsi pandangan itu. Saya yakin dia memberikan pendapat itu dengan niat baik. Dia adalah rakyat yang bertanggungjawab dan berhak memberikan pendapat tentang perkara tersebut. Kebebasan bersuara, ok,” katanya pada satu hantaran media sosial.
Zaid mengulas setiausaha politik Azalina Suraya Yaacob yang membuat laporan terhadap bekas menteri kesihatan itu.
Suraya menjelaskan tindakan itu diambil berdasarkan artikel dalam portal berita yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina "berkomplot" menyembunyikan titah addendum yang berkaitan dengan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.
Menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, Suraya berkata: “Perkataan berkenaan juga membayangkan bahawa Azalina secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang berlaku.”
“Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengesahkan bahawa Azalina bukannya Ahli Lembaga Pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran berkaitan pengampunan mana-mana banduan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Suraya menggesa polis menyiasat Khairy atas dakwaan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Zaid tidak setuju berkata jika Azalina merasakan kenyataan itu mencemarkan reputasinya, dia boleh menyaman Khairy atas tuduhan fitnah.
“Tidak perlu bersikap terlalu keras dan melibatkan polis terhadap bekas menteri yang telah menunjukkan sikap yang berhemah dalam mengulas tentang cara menteri mengendalikan addendum.
“Untuk kepentingan awam, konspirasi memerlukan lebih daripada seorang menteri untuk terlibat dalam penyorokan atau sembunyikan secara terang-terangan,” tambahnya.
Dalam podcast Keluar Sekejap, Khairy yang dipecat Umno pada Jan 2023, menuduh Azalina yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) terlibat dalam menyorokkan titah addendum.
"Surat kepada peguam negara (AG), tak mungkin AG tak maklum kepada… menteri undang-undang," tambah Khairy lagi.
Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata Azalina memberitahu Dewan Rakyat peguam negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.
Pun begitu, Khairy membalas dengan sinis, “saya rasa rakyat Malaysia tidak dilahirkan semalam.”
"Kamu, sebagai menteri undang-undang, ada hubungan dengan AG (peguam negara). Mungkin secara teknikal, boleh mengatakan AG hanya melaporkan kepada atau terus memaklumkan perdana menteri.
"Tetapi seperti mana yang saya tahu sebagai seorang bekas seorang menteri of course the AG has a relationship ataupun profesional relationship," kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memohon semakan kehakiman untuk menguatkuasakan titah bekas Yang di-Pertuan Agong, memerintahkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Istana Pahang turut mengesahkan kewujudan addendum diraja itu selepas afidavit yang difailkan oleh anak Najib, Nizar, pada 5 Disember.
Titah adendum itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun ke enam tahun dan pengurangan denda RM210 juta menjadi RM50 juta terhadap Najib.
Bekas perdana menteri itu disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.