Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Tiada siapa kebal undang-undang, termasuk anak saya
Diterbitkan:  Jan 11, 2025 10:00 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan anaknya tidak kebal undang-undang.

Katanya sebarang siasatan polis melibatkan anaknya mesti dilakukan secara telus dan adil.

"Anak saya tidak mengatasi undang-undang. Kalau ada laporan ke atasnya, tanggungjawab polislah untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya," katanya semasa lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Kenyataan menteri itu dibuat susulan satu kes yang tular di media sosial baru-baru ini, melibatkan dakwaan ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri kabinet.

"Merujuk kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini, kertas siasatan sudahpun disempurnakan dan sudahpun diserahkan kepada peguam negara.

Tiada kompromi - polis

"Jadi jika ada asas, biarlah due process (proses undang-undang) mengambil tempat.

"Tetapi prinsip yang saya berpegang, kita semua tidak kebal undang-undang termasuk anak saya sendiri," kata Saifuddin lagi.

Polis pada Khamis mengesahkan kertas siasatan kes tersebut telah disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata siasatan itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada 6 Januari, susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan.

"Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Januari lalu selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu," kata Razarudin.

Ketua polis juga berkata pihak pendakwaan mengarahkan pegawai penyiasat mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut oleh anak menteri berusia di penghujung 20-an itu.

Katanya, siasatan awal mendapati anak menteri itu sudah bernikah dengan wanita itu.

"Kita juga sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi membantu siasatan yang dibuat,” kata Razarudin lagi.

Pengadu membuat laporan polis pada 1 Januari lalu dan siasatan dibuat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan ugutan jenayah.

Pada 7 Januari pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin yang dikenali Chegubard mendakwa seorang anak menteri merogol seorang wanita dan akan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, dia membatalkan hasrat itu atas alasan pengadu menarik balik laporan polisnya.

Pada masa sama, saluran Telegram pembocor maklumat kontroversi Edisi Siasat berkongsi dakwaan salinan teks laporan polis mendakwa anak menteri itu memaksa seorang wanita menggugurkan kandungannya.

Anak menteri itu juga didakwa cuba menendang perut wanita itu tetapi tidak kena.

Malaysiakini telah menghubungi lelaki itu dan masih menunggu maklum balasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS