Presiden Terpilih Amerika Syarikat Donald Trump, dilepaskan tanpa syarat di New York pada Jumaat selepas disabitkan dengan 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan, lapor UPI.
Pendengaran hukuman bermula pada 9.30 pagi Waktu Standard Timur. Trump, akan menjadi presiden pertama dihukum atas pertuduhan jenayah, menghadiri prosiding itu secara maya dari kediamannya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida.
Keputusan hukuman itu mengikut cadangan pihak pendakwaan, menurut laporan CNN, CBS News, dan NBC News. Walaupun Trump telah dirujuk sebagai seorang pesalah jenayah sejak mahkamah menjatuhkan keputusan sebulat suara pada musim bunga lepas, secara rasmi, beliau perlu menjalani hukuman untuk melengkapkan sabitannya. Hukuman lepas tanpa syarat memenuhi keperluan itu.
"Kes ini adalah luar biasa," kata Hakim Mahkamah Agung New York, Juan Merchan, semasa menjatuhkan hukuman.
“Namun, sebaik sahaja pintu mahkamah ditutup, perbicaraan ini tidak lagi istimewa, unik, atau luar biasa berbanding 32 kes lain di mahkamah ini," katanya.
Pendakwa raya, Joshua Steinglass, mencadangkan hukuman lepas tanpa syarat, yang bermaksud Trump tidak akan dipenjara atau diletakkan di bawah parol.
Merchan, yang pada Isnin memutuskan untuk tidak menangguhkan lagi pendengaran hukuman, turut menyatakan bahawa beliau tidak akan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Trump. Trump sebelum ini berdepan kemungkinan hukuman penjara, tahanan rumah, atau percubaan.
Steinglass berkata Trump telah berusaha untuk merosakkan kredibiliti sistem kehakiman sejak beliau disabitkan dan menunjukkan tiada rasa penyesalan atas jenayah yang dilakukan.
Ketika giliran pembelaan untuk bersuara, Trump sekali lagi mengulangi dakwaan lazimnya bahawa siasatan terhadap tindakan beliau adalah "perburuan politik."
Prosiding hukuman yang sepatutnya berlangsung pada 11 Julai telah ditangguhkan beberapa kali kerana Merchan dan Peguam Daerah Manhattan menghormati kempen Trump untuk pemilihan presiden.
Usaha terakhir Trump untuk mengetepikan pendengaran itu gagal selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat menolak permohonan beliau untuk menghentikannya.
Mahkamah tertinggi itu memutuskan dengan undian 5-4, di mana Ketua Hakim John Roberts dan Hakim Amy Coney Barrett bergabung dengan tiga hakim liberal untuk menolak permohonan Trump.
Trump dalam hantaran di media sosial menyatakan akan membuat rayuan.
Sabitan ke atas Trump berpunca daripada cubaan menyembunyikan pembayaran yang dibuat bagi menutup mulut pelakon filem dewasa, Stormy Daniels, semasa kempen pertamanya untuk jawatan presiden.
- Bernama-UPI