Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri Umno sedia beri keterangan di mahkamah isu titah adendum

Menteri-menteri Umno menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan dalam kes semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah tambahan (adendum) berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, malam ini.

“Menteri-Menteri yang mewakili Umno bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi kelak jika diperlukan untuk memberikan keterangan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi Umno yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan ttah Adendum tersebut.

“Umno merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah dendum.

“Umno selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 6 Jan lalu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Sepucuk surat daripada istana Pahang diserahkan kepada mahkamah, yang mengesahkan titah tambahan itu wujud.

Najib yang juga bekas presiden Umno sedang menjalani hukuman penjara di Kajang selepas didapati bersalah melakukan rasuah berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Sementara itu Asyraf turut mengulangi kenyataan bahawa parti itu akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS