Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKM nafi ada arahan turunkan harga belian padi
Diterbitkan:  Jan 10, 2025 9:46 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan dakwaan yang mengatakan Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) mengeluarkan arahan untuk pengilang membeli padi pada harga lebih rendah berbanding harga semasa.

Ini selepas Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) mendakwa IPB mengarahkan pengilang membeli padi pada harga lantai belian padi iaitu RM1,300 satu tan metrik, berbanding harga semasa iaitu RM1,500 hingga RM1,800.

"KPKM ingin menegaskan bahawa tiada sebarang arahan atau keputusan berhubung penurunan harga belian padi sehingga kini.

"Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pertubuhan tersebut adalah tidak tepat dan telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pesawah dan pemain industri padi dan beras negara.

"Oleh yang demikian, KPKM menggesa supaya penyebaran maklumat berhubung kenyataan ini dihentikan segera dan menegaskan bahawa sebarang penyebaran maklumat tidak sahih ini adalah di bawah tanggungjawab penyebar," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada 8 Jan, Pengerusi PeSawah Abdul Rashid Yob berkata dia dimaklumkan mengenai mesyuarat antara IPB dan pengilang yang berlangsung, di mana Ketua Pengarah IPB didakwa mengarahkan pengilang membeli pada harga lantai RM1,300 satu tan metrik.

Abdul Rashid berkata harga itu, yang ditetapkan pada 2023 sudah tidak relevan dan tidak dapat menampung kos petani.

Dia turut melahirkan rasa kecewa kerana perbincangan mengenai penetapan harga padi dikatakan dijalankan oleh kementerian dengan pengilang tanpa melibatkan pesawah.

Pada 1 Jan, Pengerusi Pasukan Petugas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengimport beras putih dari Pakistan untuk menangani isu-isu yang berterusan berkaitan bekalan dan harga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS