Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan hari ini kerana melempar sebatang tukul besi ke arah cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling dalam kejadian pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata lelaki berusia 25 tahun yang melakukan perbuatan khianat berkenaan ditahan di sebuah rumah di Tangga Batu di sini pada 12.40 tengah malam tadi.
"Ketika kejadian kira-kira 10.10 malam, suspek yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda milik adik perempuannya bertindak memberhentikan kenderaan itu di luar pekarangan balai polis sebelum beredar dari lokasi dan menuju ke Pantai Puteri. Ketika kejadian dua anggota bertugas di kaunter aduan," katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana berasa marah dan mendakwa terdapat gangguan bisikan di telinga yang mendorongnya bertindak sedemikian.
Siasatan mendapati tiada unsur sabotaj atau elemen subversif terhadap mana-mana pihak dan ujian air kencing suspek didapati negatif.
Md Nazri berkata suspek direman empat hari hingga 13 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
- Bernama