All Women's Action Society (Awam) mengkritik kerajaan kerana memperlakukan rakyat Malaysia seperti kanak-kanak dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mengeluarkan larangan ke atas enam buah buku.
Pegawai advokasi kanan Awam, Amanda Shweeta Louis berkata tindakan sedemikian menetapkan satu duluan (precedent) yang membimbangkan terhadap hak kebebasan bersuara di negara ini, memandangkan penapisan menghadkan keupayaan rakyat untuk membentuk pendapat mereka sendiri berdasarkan perspektif yang pelbagai.
"Ancaman sebenar kepada moraliti bukanlah terletak pada karya sastera tetapi pada isu-isu sistemik seperti ketidaksamarataan, keganasan berasaskan gender, dan penindasan suara-suara yang pelbagai," kata Amanda kepada Malaysiakini.
Pada Selasa lalu, KDN mengumumkan pengharaman enam buah buku yang dianggap berpotensi memudaratkan moral.
Dalam satu kenyataan, kementerian menyenaraikan buku-buku tersebut seperti berikut:
“A Million Kisses In Your Lifetime” oleh Monica Murphy
“Lose You To Find Me” oleh Erik J Brown
“Punai” oleh Asyraf Bakti
“Scattered Showers” oleh Rainbow Rowell
“When Everything Feels Like the Movies” oleh Raziel Reid
“What If It’s Us” oleh Becky Albertalli dan Adam Silvera
“A Million Kisses In Your Lifetime” ialah novel romantik kontemporari, manakala “What If It’s Us” adalah komedi romantik remaja. “Scattered Showers” pula adalah koleksi cerita pendek romantik.
“Lose You To Find Me” pula merupakan cerita remaja mengenai pencarian identiti queer, sementara “When Everything Feels Like The Movie” mengisahkan seorang remaja gay.
Pengharaman tersebut dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Sementara itu, Amanda berkata pengklasifikasian novel romantik sebagai memudaratkan tidak mengambil kira bagaimana karya sedemikian boleh mempromosikan cerita yang positif dan memperkasakan.
"Sesetengah novel romantik mencabar stereotaip tradisional, dengan memperkenalkan watak-watak yang melawan norma patriarki dan meneroka tema seperti kesetaraan, persetujuan, dan autonomi diri," katanya.