Selepas dikecam dan diserang kerana rasa tidak puas hati atas lantikan yang dibuatnnya, hari ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu, membuka mulut untuk memberi penjelasan.
Didakwa mengabaikan ahli parti sendiri, Aiman Athirah sebaliknya menjelaskan tidak timbul dia bertindak sedemikian.
Sebaliknya dia memaklumkan pegawai yang dipertikaikan itu merupakan ahli Amanah.
“Tak betul, dia ahli Amanah,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu beberapa pihak menularkan dakwaan di media sosial bahawa Ahli Parlimen Sepang berkenaan melantik seorang pemimpin Bersatu untuk bekerja di bwahnya.
Pegawai terbabit ialah Norhaninawati Yusof. Malaysiakini difahamkan Norhaninawati merupakan bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu.
Bagaimanapun segelintir penyokong parti kerajaan mempersoalkan keberadaan Norhaninawati sebagai pegawai khas Aiman Athirah di sebalik latar belakang mereka yang berbeza parti.
Selain itu Aiman Athirah turut dikritik kerana memberi kelulusan program bantuan kepada NGO yang dikaitkan dengan pemimpin Bersatu.
Mengulas isu tersebut, Aiman Athirah berkata, dia telah mengarahkan siasatan dan tindakan diambil mengikut peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.
“Seandainya terbukti mana-mana NGO yang tersenarai lulus permohonan ada kaitan sepertimana dakwaan yang berlegar, maka tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan kelulusan dan NGO tersebut boleh disenaraihitamkan,” katanya.
Perkara itu, katanya, merujuk kepada majlis penyerahan surat kelulusan pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2025 yang berlangsung pada 7 Jan lalu.