Seorang jurugambar sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua pereka fesyen menggunakan kamera di sebuah hotel, dua hari lepas.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Imran Khairil, 30, didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap Azmi Abdul Rahman, 47, dan Raziman Din, 53, dengan menggunakan kamera sebagai senjata di sebuah hotel di Bandar Utama, dekat sini pada 8.45 malam dan 9 malam, 8 Jan lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Peguam Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapanya.
Majistret Farah Azura Mohd Saad membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu dan mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.
- Bernama