Anwar Ibrahim menasihatkan agar golongan belia tidak disibukkan dengan isu remeh seperti mempertahankan tokoh-tokoh besar yang terbabit penyelewengan dan mencuri duit rakyat.
Menurut perdana menteri, ketika dia dan kerajaan berusaha menangani isu rasuah dan salah guna kuasa, pihak lawan mengecam dengan menggunakan alasan Melayu dan Islam.
Malah, katanya, ada pihak yang mendakwa dia sebenarnya sekadar ingin membalas dendam terhadap tokoh-tokoh tertentu.
"Jangan sibuk dengan soal remeh pertahankan penyelewengan ini, heboh kita pertahankan.
"Saya singgung orang besar-besar, bilionair atas soal rasuah, (tapi) banyak suara atas nama Melayu, atas nama Islam pertahankan tokoh besar yang rasuah.
"Marah, (kata) saya dendam kesumat.. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik pada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tokoh-tokoh yang dimaksudkannya itu mempunyai kekayaan luar biasa termasuk di luar negara.
Sementara itu, ketika ditemui media selepas perasmian itu, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai isu titah tambahan (adendum) mengenai tahanan rumah untuk Najib Razak.
Ketika diajukan soalan sama ada kerajaan bersedia mendedahkan butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib. Anwar hanya tunduk.
"Tak dengar ucapan ke?" katanya ringkas merujuk kepada majlis perasmian yang berlangsung sebelum itu sebelum berlalu.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan agar minit mesyuarat lembaga pengampunan didedahkan kepada umum bagi merungkai isu adendum.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata minit mesyuarat berkenaan sulit dan tidak boleh didedahkan.