Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad ingatkan Kadir: Usah pelik jika Dr M minta nyawa politik dari Najib
Diterbitkan:  Jan 10, 2025 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Seorang pemimpin kanan Umno hari ini memberi 'amaran' bahawa Dr Mahathir Mohamad mungkin bergandingan dengan Najib Razak untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menyanggah tulisan A Kadir Jasin yang menyentuh isu Najib, Mohd Puad Zarkashi berkata, isu yang diperjuangkan Umno ialah mengenai perbicaraan ke atas bekas perdana menteri keenam Malaysia itu.

Kata anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, Najib tidak perlu bilik yang dilengkapi penyaman udara, permaidani, tilam air dan permainan video seperti yang pernah dinikmati seorang baduan pada akhir dekad 1980-an.

“Najib hanya minta perbicaraan adil," katanya.

Pagi tadi Malaysiakini menyiarkan tulisan A Kadir yang meminta agar Najib tidak dimanjakan seperti seorang ahli perniagaan yang dipenjara selepas didapati bersalah melakukan jenayah kolar putih.

Merujuk kepada pendedahan akhbar Malay Mail pada 1989, Tokoh Wartawan Negara itu menceritakan bagaimana sel yang menempatkan Abdullah Ang dilengkapi peti sejuk, alat pemain video, televisyen dan katil air.

"Cukuplah memanjakan dan memberi keistimewaan kepada Najib,” katanya.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Kajang selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta.

Pendakwaan ‘tergesa-gesa’

Dia kemudian memohon agar dibenarkan menghabiskan hukuman penjara tersebut di rumah dengan berhujah ia dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Keabsahan titah tambahan tersebut akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas ini.

Mohd Puad mendakwa dalam kes Abdullah Ang, tidak berbangkit isu perbicaraan tidak adil namun ia berbeza dengan apa yang dilalui Najib.

"Dia (Najib) mangsa politik Tun M (Mahathir)," katanya.

Memetik kenyataan Anwar sebelum ini, Mohd Puad berkata, Najib menjadi mangsa pendakwaan yang tergesa-gesa dan penuh dendam.

"Apakah kini Tun M berdendam pula dengan Anwar?

"Jangan hairan Tun M akan meminta nyawa politik daripada Najib untuk menjatuhkan Anwar," katanya.

Untuk rekod, Mahathir pernah berseteru dengan Anwar selama kira-kira 20 tahun sebelum hubungan itu dipulihkan menjelang PRU ke-14 pada 2018 lalu. Kerjasama itu menyaksikan BN dikalahkan buat kali pertama dan PH membentuk kerajaan pusat dan kebanyakan negeri.

Bagaimanapun hubungan kedua-dua mereka kembali keruh dan menyaksikan PH tersingkir daripada menjadi kerajaan di luar pilihan raya umum pada 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS