Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerugian akibat jenayah komersial cecah RM3.11 bilion tahun lepas

Jumlah kerugian akibat pelbagai kesalahan jenayah komersial sepanjang tahun lepas mencecah RM3.11 bilion dengan 41,701 kertas siasatan dibuka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jenayah penipuan merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 73,240 kes melibatkan kerugian lebih RM2.45 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kes penipuan dalam talian mencatatkan 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion.

Untuk pecah amanah pula merekodkan 1,448 kes dengan nilai kerugian (RM546.39 juta), Ah Long 1,060 kes (RM5.29 juta), wang palsu 950 kes (RM1.16 juta), jenayah siber 720 kes (RM32.7 juta), pemalsuan 128 kes (RM10.13 juta), salah guna harta 62 kes (RM66.29 juta), dua kes VCD/DVD dan 91 lain-lain kes (RM1.6 juta)

“Daripada aspek pertuduhan, sebanyak 16,813 kes atau 40 peratus daripada keseluruhan kes yang disiasat telah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Ramli berkata JSJK turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan dengan tujuan memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini ‘scammer’.

“JSJK melaksanakan sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung bulan ini, pihaknya menerima maklumat berhubung kebimbangan orang ramai mengenai laman web palsu menjual barangan serta taktik memancing data (phishing) yang boleh mengakibatkan kerugian.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihaknya merekodkan 1,812 kes melibatkan kerugian lebih RM65 juta pada tahun lepas membabitkan taktik memancing data yang merupakan jenayah e-kewangan.

“Saya nasihatkan pengguna telefon bimbit untuk tidak menekan sebarang pautan yang diterima dan dapatkan pengesahan melalui panggilan telefon atau video bagi menentukan mesej diterima benar-benar tulen

"Kita juga perlu tahu pelbagai kaedah dan teknik yang digunakan seperti perdayaan dan fail APK malah Al (kecerdasan buatan ) adalah untuk tujuan penipuan. Kita perlu sentiasa peka tentang keadaan ini dan perlu berwaspada atau bersikap skeptikal dalam menerima mesej atau panggilan,” katanya.

Ramli berkata mengenai isu pembelian secara dalam talian, orang ramai diingatkan untuk membuat pembelian melalui platform yang sah dan dipercayai bagi mengelakkan ditipu dan menjadi mangsa penipuan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS