Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Urus setia Lembaga Pengampunan tak terima sebarang adendum
Diterbitkan:  Jan 10, 2025 4:01 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa ia tidak menerima sebarang dokumen tambahan atau adendum daripada pihak Istana Negara.

Menurut kenyataan BHEUU, JPM, tiada dokumen tambahan yang berada dalam fail atau rekod rasmi mereka.

“BHEUU, JPM juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.

“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya. 

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

BHEUU juga memaklumkan bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali ke-61 yang telah diadakan pada 29 Januari tahun lalu. Ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun 2024.

Titah tambahan itu dikatakan diperkenan oleh Al-Sultan Abdullah bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib Razak

Najib pada asalnya telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, hukumannya tahun lalu dikurangkan kepada 6 tahun penjara dan denda RM50 juta.

BHEUU dalam kenyataan hari ini juga menjelaskan bahawa ia  tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang -Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Malah jelasnya, menteri berkenaan juga tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa -apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

BHEUU juga memaklumkan bahawa prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].

“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli -ahli Lembaga Pengampunan dan  individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengampunan bagi wilayah -wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan (BHEUU, JPM) adalah hanya sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan. 

“Lembaga Pengampunan bukan  sebuah agensi atau jabatan kerajaan di bawah BHEUU, JPM,” katanya.

Ia seterusnya menjelaskan Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri dengan setiap menteri besar atau ketua menteri turut menjadi anggota lembaga tersebut. 

Bagi wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya  pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh kerana wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, menteri yang bertanggungjawab bagi wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara  42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS