Mahkamah Tinggi di Klang mendedahkan Dr Ravi Akambaram yang berkhidmat di Klinik Shan telah meninggalkan pesakitnya yang berada dalam keadaan kritikal Punitha Mohan, di bawah jagaan kakitangan tidak bertauliah untuk keluar minum.
Kecuaian ini, bersama dengan banyak kegagalan lain, menyebabkan kematian tragis ibu berusia 36 tahun itu selepas komplikasi bersalin.
Hakim Norliza Othman yang membicarakan kes ini mendapati Ravi, pengarah klinik Dr Shanmugam Muniandi dan tiga kakitangan lain di Klinik Shan bertanggungjawab atas kecuaian.
Keputusan mahkamah ini dibuat pada 18 Disember 2024 dan dimuat naik ke laman web jabatan kehakiman pada Khamis.
Latar belakang kes
Punitha Mohan dimasukkan ke Klinik Shan pada 8 Januari 2019 untuk melahirkan anak keduanya.
Walaupun proses kelahiran pada keesokan harinya berjaya, Punitha mengalami pendarahan selepas bersalin.
Sebaliknya, Dr Ravi pada saat kritikal itu telah meninggalkan klinik untuk keluar minum. Dr Shanmugam juga dilihat meninggalkan bilik bersalin dan penjagaan Punitha diserahkan kepada jururawat yang tidak berdaftar.
Mahkamah mendapati klinik tersebut kekurangan peralatan penting dan ubat-ubatan.
“Pada jam lebih kurang 12.35 petang, jururawat dari bilik bersalin itu tiba-tiba keluar dan menelefon Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bertanya tentang doktor pakar yang bertugas kerana ada pesakit mereka yang kritikal.
"Sebaik sahaja mendengar perbualan tersebut, ibu si mati sekali lagi berlari masuk ke bilik bersalin dan dia melihat si mati mengalami pendarahan yang banyak.
"Ibu si mati melihat jururawat-jururawat itu sedang cuba untuk menahan pendarahan itu dengan menggunakan kapas namun darah tetap mengalir.
"Ibu si mati melihat keadaan si mati dan mendapati badan si mati sudah sejuk dan sukar bernafas. SD2 dan SD3 tiada di dalam bilik bersalin itu pada waktu itu,” menurut keputusan penghakiman.
"Mereka masih memandang remeh akan keadaan si mati ketika itu dengan tidak membuat keputusan menghantarnya ke HTAR untuk rawatan segera atau bagi mendapatkan bekalan darah," kata penghakiman.
Apabila Punitha dipindahkan ke HTAR, dia telah kehilangan banyak darah.
Walaupun pihak hospital berusaha namun keadaannya terlalu kritikal untuk dipulihkan dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.
dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.
Mahkamah berkata kejadian malang ini dapat dielakkan jika kedua-dua doktor bertindak segera dengan memindahkan ibu tersebut ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, bukannya meninggalkannya dengan jururawat sementara Dr Ravi keluar untuk minum, kata hakim.
Mahkamah menekankan beberapa aspek kecuaian utama:
Meninggalkan si mati tanpa pengawasan doktor walaupun dia mengalami pendarahan yang teruk.
Gagal memindahkan si mati ke HTAR apabila pendarahannya bertambah buruk.
Gagal menyediakan kemudahan dan ubat-ubatan yang mencukupi.
Tidak memaklumkan kepada keluarga si mati tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan dalam menangani komplikasi obstetrik dan ginekologi seperti PPH.
Meninggalkan si mati dalam jagaan jururawat selepas prosedur pengeluaran plasenta secara manual.
Keluarga si mati diwakili oleh peguam K Renuka manakala firma guaman Tetuan R V Lingam & Co mewakili pihak defendan.
Mahkamah mengarahkan pihak defendan membayar pampasan sebanyak RM5.9 juta kepada keluarga si mati sebagai ganti rugi atas kecuaian yang membawa kepada kematian tragis ini.