Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan laporan kimia dan cakera padat (CD) berkaitan kes ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Timbalan pendakwa raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memberitahu hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh bahawa setakat ini tiada lagi dokumen lain yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan.
"Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen (laporan kimia dan CD) kepada pihak peguam yang akan digunakan semasa perbicaraan kes berkenaan.
"Selain itu, senarai saksi termasuk pernyataan saksi - sekiranya ada - akan diserahkan kepada pihak peguam melalui e-mel sebelum tarikh perbicaraan.
"Mohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini bermula 3 hingga 7 Feb, 17 hingga 21 Feb dan 10 hingga 14 Mac depan dikekalkan,” kata Raja Zaizul Faridah semasa sebutan kes itu.
Peguam M Haresh yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengesahkan pihak pembelaan telah menerima laporan kimia dan CD daripada pihak pendakwaan hari ini.
Mahkamah kemudian mengekalkan tarikh-tarikh perbicaraan kes itu.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memanggil 15 saksi pendakwaan dalam perbicaraan nanti.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada jam 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Dis 2023 di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, dekat Petaling Jaya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
- Bernama